KALAU ditanya siapa penyanyi lama yang peminat mahu lihat beraksi di pentas Gegar Vaganza (GV), pastinya nama Baggio antara yang lantang disebut. Namun sayangnya, dia kekal dengan pendirian enggan.
Acap kali juga pertanyaan sama soal GV singgah pada setiap sesi temubual, namun berulang-ulang juga penyanyi itu menyatakan keengganannya. Padanya, dia tidak mahu ‘menelanjangkan’ kelemahan diri di hadapan peminat.
Namun ada juga yang bertanya, bila agaknya vokalis Damasutra ini mahu kembali ke layar kaca? Adakah dia terlalu sibuk dengan dunia nyanyian? Atau sibuk dengan live TikToknya setiap hari?
Jawablah mendapatkan penyanyi yang popular dengan lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi ini. Baggio, Jawablah!
J: Nampaknya semakin rancak abang bersiaran langsung di TikTok. Selalu juga FYP kan?
B: Seronok sebenarnya. Saya seperti kanak-kanak baru nak belajar medium komunikasi baharu. Sebelum ini dengar sahaja cerita kawan-kawan seangkatan yang rajin live di aplikasi itu.
Tetapi bila dah mula, seronok sebab ada komunikasi dua hala. Ada peminat yang sudah kenal, yang baru kenal. Kalau kita jawab salam pun, mereka sudah teruja. Terimbau zaman kegemilangan dulu.
J: Tapi ada yang padang hina artis lama main TikTok, sampai ada yang cakap meminta sedekah?
B: Tak baik cakap begitu. Bila saya mula main TikTok, ramai penganjur persembahan hubungi saya. Maksudnya kita mula dapat perhatian dan ada cara mudah untuk hubungi artis-artis lama ini.
Bagi saya, ini cara kami untuk komunikasi dengan peminat. Bukanlah hadap sangat untuk raih pendapatan. Kalau ada yang bagi gift, itu rezeki. Paling penting, mereka tahu oh Baggio masih aktif.
Macam saya, pendapatan utama tetap persembahan pentas. Tetapi seronok juga menyanyi di media sosial, orang tahu kita masih boleh menyanyi dengan baik. Sebab itu soalan pasal GV memang paling kerap ditanya.
J: Tapi abang masih dengan pendirian untuk menyatakan tidak kepada GV?
B: Ya, tetap tidak. Saya tak cakap program tersebut tidak bagus atau apa, cuma bukan untuk saya. Saya lebih selesa begini.
J: Pendapat abang sendiri bila ramai rakan artis seangkatan mula buat siaran langsung di TikTok, adakah itu bagus atau ganggu eksklusiviti jenama mereka sendiri?
B: Kalau tidak dipecahkan ruyung, mana dapat sagunya kan? Ini adalah salah satu cara untuk merelevankan nama seseorang dalam industri.Cuma cara mereka mengendalikan siaran langsung itu, terpulang.
Saya suka untuk tidka terlalu formal, lebih kepada berborak anak beranak. Kalau ada permintaan nyanyian, saya ikutkan tetapi tidaklah habis tapau semua lagu kan. Bukan soal duit pun.
Asalkan tiada menyentuh isu sensitif, mengasari sesiapa saya rasa okey sahaja. Kita bukan zaman kumpul surat, poskad peminat. Inilah cara untuk bertemu mereka walaupun secara maya.
J: Lakonan pula macam mana abang? Ada yang tanya, tak mahu berlakon lagikah?
B: Bukan tak mahu tetapi itu, ada penerbit yang tak tahu nak bagi watak apa kepada saya. Kalau bagi watak abah, nampak sebaya dengan anak. Kalau bagi watak anak pula, macam pelik pula kan.
Rindu juga sebenarnya untuk kembali berlakon. Macam mana bunyi ‘action’ pun saya sudah lupa. Tawaran berlakon tidak ada. Tunggu sahajalah.