BAND terkenal Indonesia, Efek Rumah Kaca (ERK) pernah menulis sebuah lagu Cinta Melulu menyindir sesetengah pengkarya yang selalu membuat naskhah patah hati atau pengalaman dicurangi.
Namun begitu, kita sukar menafikan lagu seperti ini mudah laku di TikTok dan sehingga hari ini menduduki tangga teratas lagu paling banyak didengar dalam carta Billboard.
ERK yang dianggotai Cholil Mahmud, Poppie Airil dan Akbar Bagus Sudibyo bagaimanapun masih memilih melawan arus menghasilkan lagu dengan tema politik atau perubahan iklim.
“Oleh sebab sudah ramai yang buat lagu cinta, kami merasakan peranan untuk membawakan lagu dengan tema alternatif semakin diperlukan.
“Jika kita hanya fokus kepada satu tema sahaja, ia petanda yang kurang baik terhadap kesenian yang sangat berpengaruh dalam kehidupan manusia.
“Tema politik tetap sahaja boleh menarik pendengar baharu asalkan setiap band mempunyai strategi yang betul.
“Tentu sahaja pemasaran untuk lagu begini akan lebih sukar berbanding pasal cinta tapi saya percaya, setiap karya mempunyai pendengarnya masing-masing,” kata Cholil yang juga vokalis kumpulan ini.
ERK yang menubuhkan kumpulan ini sekitar tahun 2001 sudah menghasilkan beberapa album seperti Efek Rumah Kaca, Kamar Gelap, Sinestesia dan Rimpang. Mereka berkata, muzik mereka akan selalu berubah dan tidak akan mengulangi karya yang pernah dihasilkan sebelum ini.
“Sebenarnya kami pernah tidak ada nama band selama setahun. Setiap kali kami ada cadangan nama, mesti band lain sudah pakai. Selepas itu, kami terfikir untuk guna sahaja lagu kami sebagai nama band iaitu Efek Rumah Kaca pada 2002.
“Muzik kami bergerak jauh terutama dalam album Rimpang. Kami juga menghasilkan dan menerbitkan semua lagu-lagu kami sendiri. Ini kerana kami mempunyai kebebasan sepenuhnya meletakkan sentuhan kami dalam lagu itu.
“Cuma dari segi promosi, kami bekerjasama dengan pengedar untuk menjual naskhah kami baik secara fizikal mahupun di platform penstriman,” ujar Poppie.
KEMBALI KE MALAYSIA
ERK bakal mengadakan persembahan kelimanya di Malaysia menerusi konsert solo Di Udara Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur pada 25 Oktober ini. Menariknya kali ini, ERK memilih seorang pemuzik independen, Bayangan, untuk membuat persembahan pembukaan.
“Kami sebenarnya memang peminat Bayangan atau Fikri baik dari penulisan lagu mahupun muzik yang dibawakannya. Kami juga sudah melihat dan mendengar lagu-lagunya berkali-kali. Jadi sangat tepat sekiranya Bayangan menjadi pembuka panggung konsert kami.
“Kebetulan dia juga lapang pada tarikh itu,” jelasnya.
ERK bakal membawakan deretan lagu dari album awal mereka sehingga Rimpang. Kesempatan mengadakan konsert solo akan digunakan ERK sepenuhnya untuk meyakinkan pendengar terhadap hala tuju muzik barunya.
“Kami ingin memainkan muzik paling baharu dalam konsert itu nanti. Konsert ini bernama ‘Di Udara’ dengan harapan akan membawa pesan baik semasa mahupun selepas konsert,” kata Akhbar.
Tidak hanya itu, penganjur Shezco Sdn Bhd juga berjanji akan mengadakan cabutan bertuah semasa konsert. Pemenang akan membawa pulang sebuah gitar berharga RM2,000 beserta tanda tangan semua ahli Efek Rumah Kaca.