Suapan terakhir ibu sebelum anak ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Suapan terakhir ibu sebelum anak ditemukan lemas

NUR Kamilah Ripin @ Arifin (kanan) dan suaminya, Muhammad Rajab menunjukkan gambar Ibrahim Adham Muhammad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Renek, Besut, hari ini. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: “Saya sempat suap bihun goreng kepada arwah sebelum Bahim hilang dan ditemukan lemas,” kata Nur Kamilah Ripin @ Arifin, 36, ibu kepada kanak-kanak istimewa yang ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah parit di Taman Usrah dekat Renek di sini, semalam.

Nur Kamilah berkata, anak keduanya Ibrahim Adham Muhammad, 6, atau dikenali Bahim merupakan seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) kategori autisme itu sempat menjamah bihun goreng pada majlis sambutan hari lahir ahli keluarga mereka malam tadi.

“Semalam arwah sangat berselera makan bihun goreng yang saya suap, dan selepas itu Bahim bermain di halaman ruman dengan dipantau ayahnya dan ahli keluarga yang lain.

“Semua ahli keluarga akan memantau Bahim kerana dia istimewa berbanding adik-beradik serta ahli keluarga yang lain, namun kehilangannya berlaku dalam sekelip mata tanpa kami sedar,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Renek, di sini, hari ini.

Jelas Nur Kamilah, sebelum ini anaknya itu tidak pernah bermain di kawasan parit berkenaan setiap kali balik bercuti ke rumah keluarganya.

Meskipun masih terkejut dengan kehilangan anak kedua daripada tiga beradik itu, namun dia dan suami, Muhammad Rajab, 36, reda dengan ujian dan pemergian Ibrahim Adham.

Sementara itu, bapanya, Muhammad pula berkata, pemergian anaknya itu memberi kesan yang mendalam buat dia dan keluarganya yang lain.

“Arwah sangat rapat dengan saya dan setiap malam akan tidur dan bermain bersama, saya tidak tahu bagaimana keadaan setelah ketiadaan Ibrahim Adham,” katanya.

Jenazah Ibrahim Adham selamat selamat dikebumikan kira-kira pukul 2.30 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Renek, Besut.

Terdahulu dilaporkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah parit di Taman Usrah, Renek dekat Jerteh, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa Ibrahim Adham Muhammad, 6, dijumpai kira-kira pukul 9 malam oleh keluarga dan penduduk kampung yang mencari mangsa.

“Mangsa ditemui di dalam parit yang terletak kira-kira 10 hingga 20 meter dari rumah datuknya selepas dilaporkan hilang sejak pukul 6.30 petang hari yang sama,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN