Status doktrin GISBH diputuskan Muzakarah MKI

Status doktrin GISBH diputuskan Muzakarah MKI

ANTARA risalah mengandungi elemen-elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam yang dirampas polis dalam Op Global fasa 4 membabitkan kepentingan GISBH di Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI) akan membuat keputusan status doktrin Kumpulan GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) yang  akan bersidang bermula Selasa ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, keputusan Muzakarah MKI itu akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam mengeluarkan fatwa bagi membolehkan proses pendakwaan terhadap ajaran kumpulan ini dibawa ke mahkamah syariah.

Kata beliau, susulan Op Global Fasa 4 yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Jakim, terdapat beberapa rampasan bahan yang boleh dijadikan bukti sokongan terhadap pegangan akidah pengikut kumpulan GISBH.

“Bahan-bahan bukti tersebut akan dijadikan asas dalam Kertas Laporan untuk dibincang dan diputuskan dalam Muzakarah MKI yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 September ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hakimah, Jakim amat menghargai kerjasama semua agensi yang terlibat khususnya PDRM dalam membantu Jakim bagi melengkapkan bahan bukti untuk tujuan tersebut.

Katanya, penghargaan juga kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang memberi kerjasama erat kepada Jakim selama ini bagi memastikan proses penentuan status pegangan akidah dan syariah pengikut GISBH dapat diputuskan secara tuntas.

“Jakim di bawah arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berusaha bagi memastikan pegangan akidah dan syariah umat Islam di negara ini sentiasa selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sebarang usaha yang boleh mencemarkan kesucian ajaran Islam akan dibendung dengan kerjasama semua pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN