PETALING JAYA: Sebanyak RM18.85 bilion jumlah deposit daripada produk simpanan Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) diterima dengan bilangan akaun berjumlah 6.54 juta sehingga 31 Ogos lalu.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, prestasi itu membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik.
“Tahun ini, genaplah dua dekad usia Simpan SSPN. Tempoh ini bukanlah satu fasa yang singkat. PTPTN mengharungi pelbagai cabaran untuk memastikan Simpan SSPN terus kekal relevan sebagai produk simpanan terbaik dan berdaya saing.
“Pencapaian deposit Simpan SSPN sentiasa menunjukkan peningkatan membanggakan,” katanya.
Norliza berkata demikian susulan pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 sempena Sambutan Hari Tabungan Sedunia pada 31 Oktober setiap tahun.
BMS adalah program khas PTPTN dalam memartabatkan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat. Tahun 2024 merupakan tahun ketujuh penganjurannya sejak 2018.
Program bermula di peringkat nasional pada 26 hingga 29 September lalu dengan majlis pelancaran pada 28 September 2024 yang turut diadakan serentak di seluruh negara.
BMS kali ini bertemakan Fantasi bersempena Hari Impian Sedunia yang disambut pada 25 September setiap tahun dan mengekalkan tagline Jom Jadi Superhero Anak Anda bagi mengangkat idea dan kreativiti untuk merangsang daya imaginasi dan perkembangan fikiran kanak-kanak.
Norliza berkata, BMS 2024 adalah inisiatif pemerkasaan penabungan yang dipelopori oleh PTPTN bertujuan memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira kepada anak-anak dengan mempunyai perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman.
“Berdasarkan prestasi kutipan deposit dalam tempoh enam tahun penganjuran BMS, saya optimis BMS 2024 akan mencatatkan kutipan deposit Simpan SSPN yang luar biasa.
“Pada BMS kali ini, PTPTN mensasarkan jumlah deposit Simpan SSPN sebanyak RM220 juta. Saya yakin sasaran ini akan dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama oleh pelbagai pihak serta strategi promosi yang dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau berkata, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit dan lain-lain.
“Pelbagai kempen dan promosi turut dipergiat bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan antaranya dengan mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.
“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman,” katanya. – UTUSAN