SPRM sahkan dua anak Dr. Mahathir sudah isytihar harta - Utusan Malaysia

SPRM sahkan dua anak Dr. Mahathir sudah isytihar harta

SPRM mengesahkan Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir sudah mengisytiharkan harta masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mengisytiharkan harta mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir masing-masing telah mengisytiharkan harta mereka ketika dalam tempoh yang ditetapkan oleh badan pencegahan rasuah itu.

“Mereka sudah mengisytihar harta kepada kami, namun pihak penyiasatan sedang buat penyelarasan dengan peguam mereka. Secara asasnya, mereka sudah isytihar harta, itu paling penting,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Bulan lalu, SPRM dilaporkan memberi tambahan sebulan lagi kepada Mirzan dan adiknya, Mokhzani untuk mengisytiharkan aset masing-masing selepas diberi lanjutan sama pada Mei lalu.

Mirzan dan Mokhzani diarahkan SPRM pada Januari lalu untuk mengisytiharkan aset mereka sejak 1981, ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Azam berkata, ketika ini pihaknya masih berhubung dan berkomunikasi dengan peguam Mirzan serta Mokhzani bagi mendapatkan maklumat tambahan serta penjelasan membabitkan pengisytiharan tersebut.

“Jadi siasatan ke atas aset itu sudah bermula untuk mengenal pasti dan untuk menyiasat lebih lanjut apa yang mereka isytihar, namun apa yang penting, mereka isytihar mengikut tempoh masa ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Azam berkata, pihaknya masih belum dapat mengesan keberadaan ahli perniagaan, Datuk Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN