SPRM jamin bertindak isu penduduk Telok Gong hidu bau busuk

SPRM jamin akan bertindak isu penduduk Telok Gong hidu bau busuk

AZAM Baki (dua, kiri)) pada sidang akhbar berkaitan isu Teluk Gong di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa terutamanya melibatkan pihak berkuasa berhubung isu kira-kira 40,000 penduduk di Telok Gong, Pelabuhan Klang yang terpaksa menghidu bau busuk dari puluhan kilang pemprosesan sisa buangan disyaki beroperasi secara haram.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pada masa sama, beliau juga telah mengarahkan Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus untuk menghantar pegawai penyiasat bagi mendapatkan maklumat berhubung isu tersebut.

“Saya baru tahu pagi ini berhubung dengan maklumat ini dan saya pun telah arahkan Pengarah Perisikan Datuk Zainul untuk hantar pegawai bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya beri jaminan di sini (bahawa) SPRM akan bertindak sekiranya perkara yang tidak dipantau ini ada isu-isu rasuah atau pun salah guna kuasa terutama sekali melibatkan pihak berkuasa atau autoriti, dan kami akan menjalankan siasatan,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai puluhan kilang haram kitar semula plastik dan tayar di Telok Gong berhampiran Pelabuhan Klang yang didakwa menjalankan operasi tanpa diganggu pihak berkuasa.

Pada Ahad, Mingguan Malaysia melaporkan sejak 10 tahun lalu, kira-kira 40,000 penduduk di Teluk Gong, Pelabuhan Klang terpaksa menghidu bau busuk, tidak kira siang atau malam setiap hari berikutan wujud puluhan kilang pelupusan sisa pepejal dipercayai beroperasi secara haram yang turut menyebabkan air sungai di sekelilingnya kotor dan berwarna hitam legam.

Keadaan itu akibat kewujudan puluhan kilang disyaki beroperasi secara haram menjalankan kerja-kerja pemprosesan sisa buangan yang tidak melalui proses atau prosedur betul.

Situasi sedemikian mengukuhkan lagi dakwaan bahawa negara ini menjadi ‘pusat pelupusan sampah’ apabila terdapat kes-kes penyeludupan sisa plastik dan elektronik (e-waste) melalui Pelabuhan Klang.

Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM juga akan meneliti aspek-aspek lain membabitkan isu itu berikutan dakwaan penduduk di kawasan berkenaan yang terpaksa menghidu bau busuk sejak 10 tahun lalu.

“Walaupun tidak ada laporan, itu tidak menjadi masalah kepada kami, yang penting di sini adalah penyaluran maklumat apatah lagi kalau disebut ini betul, kalau sekiranya dah 10 tahun tidak dipantau dan sebagainya.

“Jadi SPRM akan melihat perkara ini kenapa selama 10 tahun tidak dipantau dan kenapa ia berlaku,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN