GEORGE TOWN : Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mempelawa semua syarikat yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai pelawaan cadangan (RFP) bagi pembinaan tiga buah gudang serta pembangunan bahagian darat Tanjong City Marina, di sini.
Pengerusinya, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, RFP bagi cadangan pembangunan projek tersebut dibuka mulai hari ini hingga 9 Oktober depan.
Katanya, objektif dokumen RFP itu dikemukakan ialah bertujuan mempelawa syarikat-syarikat yang berkelayakan dari segi kewangan mahupun teknikal untuk melaksanakan cadangan pembangunan gudang 5, 7 dan 8 Church Street Pier selain pembangunan Bahagian Darat Tanjong City Marina.
“Pembangunan ini dibuat secara pajakan iaitu selama 30 tahun dengan opsyen penyambungan (projek) selama 15 tahun.
“Tanah di Lot 142, Lot 22 dan sebahagian daripada Lot 53 adalah hak milik kekal SPPP manakala Lot 604 dan Lot 36 adalah berstatus pajakan 99 tahun yang mana lot-lot tersebut adalah terletak di zon utama tapak warisan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Soon Hin, selain itu, Gudang 5, 7 dan 8 merupakan bangunan warisan kategori dua dan ia tidak boleh dirobohkan.
“Saya amat yakin bahawa tanah tersebut dapat dibangunkan dengan jayanya melalui RFP pada kali ini.
“Oleh itu, saya ingin mempelawa semua syarikat yang berminat dan juga berkelayakan untuk menyertai RFP bagi cadangan pembangunan tanah tersebut,” katanya.-UTUSAN