SKMM diarah batal wajibkan DNS

SKMM diarah batal wajibkan DNS

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah membatalkan pelaksanaan kaedah penghalaan pengurusan trafik perkhidmatan nama domain (DNS) selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, padangan itu disampaikan menerusi sesi libat urus SKMM dan juga pandangan khalayak umum.

“Pada masa sama, SKMM akan meneruskan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh untuk memperoleh pandangan, cadangan dan saranan bagi memastikan objektif internet yang lebih selamat dicapai bersama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, SKMM dilaporkan telah mula melaksanakan arahan mewajibkan semua penyedia perkhidmatan internet (ISP) di Malaysia melakukan penghalaan semula DNS terutama untuk perniagaan, perusahaan dan kerajaan sebelum 30 September ini.

Ini bermakna pengguna mungkin tidak boleh mengakses laman-laman tertentu yang mungkin berbahaya seperti perkhidmatan penstriman haram, pornografi, judi dalam talian, dan laman pelaburan dalam talian palsu.

Susulan penghalaan semula DNS itu, beberapa pengguna di media sosial menyatakan bantahan dan ketidakpuasan hati kerana tindakan tersebut dilihat turut mengganggu hak kebebasan mereka.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad mengkritik tindakan kerajaan itu.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan memandang serius isu jenayah siber yang berlaku di negara ini.

“Isu jenayah dalam talian termasuk akses ke laman-laman web perjudian, persundalan, pornografi dan seumpamanya amat membimbangkan dan memerlukan usaha penyelesaian menyeluruh.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal ini demi menjamin keselamatan dalam talian buat rakyat Malaysia khususnya kanak-kanak dan keluarga,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN