PETALING JAYA: Selepas ibu tirinya dperli tiada tawaran kerja kerana sering membuat siaran langsung menjual produk, anak tiri kepada penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza, Asyraf Khalid tampil mempertahankan penyanyi nombor satu negara itu.
Menerusi sebuah perkongsian di aplikasi X, Asyraf tegas mempertahankan ibu tirinya itu yang tidak sempat berehat kerana terlalu banyak kerja.
“Macam mana boleh kata Datuk Siti tak ada job? Tahun ni sahaja dah berapa banyak konsert. Rasa macam dia tak sempat nak rehat pun, orang boleh kata tak ada job,” katanya.
Tambahnya, produk kecantikan penyanyi itu juga perlu dipromosikan memandangkan dia adalah pemilik perniagaan tersebut.
“Simplysiti adalah sebuah perniagaan, dan perniagaan tersebut perlukan marketing dan promosi juga. Nampaklah busy macam mana pun, Simplysiti tetap dihati,” jelasnya.
Terdahulu, seorang pemilik akaun platform itu mendakwa ada beberapa pihak yang mentertawakan Siti kerana sering mempromosikan produk kecantikannya, SimplySiti dan BeauSiti ketika membuat sesi live di TikTok.
Menurut pemilik akaun tersebut, penyanyi lagu Nadi itu tetap meneruskan kehidupannya meskipun dipandang rendah oleh segelintir pihak
“Walaupun ada pihak mentertawakan Siti Nurhaliza sebagai “artis takda job (kerja)” hanya sebab buat live promosi produk di TikTok atau Instagram, Siti tetap meneruskan target kehidupan tanpa peduli kata-kata nista itu.
“Terima kasih Siti kerana terus berjalan, berkongsi rezeki dan membumi,” tulis pemilik akaun itu.-UTUSAN