PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, pernah memberi bantuan pernafasan (CPR) ketika pengarah, Allahyarham Yasmin Ahmad rebah semasa membuat pembentangan di Sri Pentas, pada 2009.
Perkara tersebut tular semula selepas seorang pengguna media sosial, Ooi Beng Cheang, menceritakan Siti dan suami Datuk Seri Khalid Jiwa, berada di ruangan yang sama dengan Yasmin sebelum dia tiba-tiba mengalami kesukaran untuk bernafas dan pengsan.
“Apabila pengarah terkenal Yasmin Ahmad diserang angin ahmar, Siti Nurhaliza membantu memberikan CPR kepadanya.
Ketika itu, dia berada di dalam bilik yang sama dengan Yasmin namun pengarah itu gagal untuk diselamatkan,” tulisnya di aplikasi X.
Bukan itu sahaja, Ooi turut mengesahkan fakta berkenaan dengan berkongsi sebuah pautan video laporan berita mengenai kejadian 15 tahun lalu.
Siti yang juga duta Persatuan Bulan Sabit Malaysia ketika itu melakukan bantuan pernafasan bersama seorang doktor panel stesen penyiaran tersebut.
Allahyarham kemudian dikejarkan ke hospital jam 4.30 petang di stesen TV3 sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira 11.25 malam.
Sepanjang hayatnya, Yasmin pernah menghasilkan beberapa naskhah popular seperti Sepet , Gubra dan Mukhsin.
Filem arahannya pernah menggondol beberapa anugerah festival filem antarabangsa seperti di Berlin, San Francisco, Singapura dan Cannes. -UTUSAN