Sistem bola sepak Malaysia gagal - Sanusi - Utusan Malaysia

Sistem bola sepak Malaysia gagal – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa sistem bola sepak di negara ini telah gagal sehingga mengakibatkan beberapa pasukan tidak mampu bersaing disebabkan masalah kewangan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu berkata, pihak bertanggungjawab perlu mengkaji semula sistem sedia ada bagi membolehkan setiap negeri dapat menguruskan pasukan mereka dengan cara terbaik.

“Sistem yang dilaksanakan sekarang ini gagal untuk membolehkan negeri-negeri membuat penampilan menguruskan pasukan cara terbaik. Orang lain tak boleh buat sebab dipaksa ikut satu negeri saja, itu pun bukan negeri tapi kelab. Kenapa semua kena ikut dia, tak betul (cara itu).

“Kalau orang lain semua mampus, dia hidup seorang dia boleh main kah bola, larat kah main seorang-seorang. (Tentu) tak boleh, kena bersaing dengan orang lain. (Tapi) kalau orang lain tak boleh main, macam mana nak lawan. Berhenti lah ikut satu pasukan itu.

“Saya pernah kata kita main tempat lain sebab gaji mahal. Dulu anak syarikat kerajaan negeri bayar gaji, Kedah menang Piala Malaysia, cuma enam ke tujuh ribu masa itu. Kenapa sekarang puluhan ribu sampai pasukan lingkup, tentu ada salah sistem ini,” katanya pada sidang akhbar Festival Insan Sejahtera Negeri Kedah di sini, hari ini.

Beliau mengulas situasi semasa pasukan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) yang berdepan masalah kewangan meruncing apabila dikatakan gagal membayar gaji pemain sehingga lebih enam bulan.

Keadaan itu turut menyebabkan para pemain tidak turun menjalani latihan sejak beberapa hari lalu setelah mendakwa tidak mempunyai wang untuk menampung keperluan harian selain mempunyai tunggakan hutang bank.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengambil sikap lepas tangan terhadap pasukan KDA meskipun kelab itu telah diswastakan sebagai syarat untuk menyertai Liga Malaysia.

“Bukan saya tak mahu ambil tahu tapi itu bukan urusan yang patut saya utamakan sebab KDA sudah diswastakan. Dulu masa KFA tanggung kita usaha untuk dapat (tajaan), tahun ini walaupun swasta kita bagi sumbangan melalui KFA bayar keperluan-keperluan untuk urusan lesen kelab sebanyak RM2 juta.

“Jangan kata Menteri Besar buat tak tahu tapi untuk gaji dan kekalkan pasukan, syarikat (kelab) lah kena usahakan. Jangan suruh saya pakai duit kerajaan, ada warganet kata macam-macam kepada saya.

“Mereka pun tak faham yang Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dah tetapkan pasukan-pasukan ini diswastakan. Bukan lagi bawah persatuan dan bukan mewakili kerajaan negeri pun tapi kita sokong juga setakat yang boleh,” ujarnya.

Tambah Muhammad Sanusi, bukan hanya pasukan Kedah menghadapi masalah kewangan itu namun beliau tidak berhasrat untuk mengulas tentang pasukan negeri lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN