Sindiket seludup rokok, arak RM13.9 juta tumpas

Sindiket seludup rokok, arak RM13.9 juta tumpas

AMINUL Izmeer Mohd. Sohaimi (depan, tengah) bersama anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menunjukkan sebahagian arak yang dirampas dalam sidang akhbar di Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menumpaskan enam kes penyeludupan rokok dan arak di negeri ini dalam tempoh sebulan dengan rampasan bernilai RM13.9 juta.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, operasi tersebut dijalankan pihak­nya di seluruh negeri serta satu di Kuala Lumpur.

Kata beliau, operasi pertama dijalankan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini pada 17 Julai lalu manakala operasi terakhir dibuat pada 17 Ogos lalu secara serentak di beberapa daerah.

“Sindiket ini tidak mempu­nyai kaitan antara satu sama lain, namun modus operandi digunakan adalah sama iaitu membuat pengikraran tidak benar ke atas barang dagangan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Operasi terakhir dijalankan serentak di beberapa buah daerah antaranya Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Mersing yang menyaksikan 39 warga tempatan dan 37 warga asing ditahan,” katanya semalam.

Menurut Aminul Izmeer, kesemua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Aminul Izmeer turut memaklumkan kejayaan pihaknya merampas dadah jenis methamphetamine, ketamin dan ekstasi seberat 2.9 kilogram bernilai RM1.3 juta.

Katanya, kejayaan itu direkod menerusi satu operasi dijalankan di Jalan Parit Perpat Laut, Rengit, pada pukul 2 petang, 10 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN