Sindiket pengedaran dadah lumpuh, pasangan suami isteri ditahan - Utusan Malaysia

Sindiket pengedaran dadah lumpuh, pasangan suami isteri ditahan

MOHD. Khairi Khairuddin (tiga, kanan) bersama pegawai menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di IPK Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah selepas menahan sepasang suami isteri bersama barang rampasan lebih RM1 juta di sebuah rumah di Jalan Kubang Ikan dekat sini, semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin, berkata, suspek berusia 34 dan 37 tahun itu ditahan dalam satu operasi pada pukul 1 petang semalam.

Menurut beliau, ketika serbuan pihaknya menemui 5.7 kilogram (kg) pil yaba bernilai RM720,000 dan 631.9 gram (g) dadah jenis erimin bernilai RM48,000 disyaki untuk dijual kepada 48,000 penagih di negeri ini.

Katanya, pihak polis turut menyita pelbagai aset dan wang tunai berjumlah keseluruhan RM284,700 milik suami isteri terbabit untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Antara yang dirampas ialah sebuah kereta Volkswagen Golf dan Honda Jazz, sebuah motosikal Yamaha RXZ, Honda Vario dan dua buah Yamaha Y15ZR serta satu unit topi keledar Shoei.

“Selain itu pihak polis juga menyita barang kemas berupa gelang dan cincin serta wang tunai RM79,000 dengan semua aset ini disyaki hasil aktiviti pengedaran dadah oleh kedua-dua suspek.

“Suspek lelaki yang bekerja sebagai peniaga dan isterinya iaitu suri rumah direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 8 September,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.

Mohd. Khairi berkata, pihaknya menjalankan siasatan serta risikan sejak tiga bulan yang lalu terhadap suspek dan percaya mereka telah aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

Tambah beliau, kes ini merupakan rampasan terbesar polis Terengganu pada tahun ini dan menegaskan akan terus mengesan sindiket lain bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah.

“Siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek menunjukkan mereka tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif sebarang bahan terlarang ketika ditahan.

“Kami tidak menolak kemungkinan wujud sindiket lain di negeri ini yang aktif mengedar dadah, jadi risikan dan siasatan akan diteruskan bagi memerangi aktiviti tidak sihat ini,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN