PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan satu sindiket ejen haram dalam satu operasi khas di empat lokasi sekitar Lembah Klang semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai lapan orang ditahan dalam operasi berkenaan termasuk tiga orang rakyat tempatan dipercayai dalang utama sindiket itu.
Kata beliau, modus operandi sindiket itu menyasarkan warganegara asing di sekitar Lembah Klang dengan menawarkan perkhidmatan untuk berurusan dengan JIM berkaitan pasport dan pas.
Ia seperti Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) dan Visa dengan kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM500 hingga RM1,100 bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan.
“Operasi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di sekitar Putrajaya, Puchong, Kelana Jaya dan Sg Besi di Kuala Lumpur.
“Selain dalang utama itu, turut ditahan seorang lelaki warganegara Vietnam dan seorang lelaki warganegara India yang dipercayai adalah ahli sindiket.
“Selain itu dua perempuan warganegara Vietnam dan seorang perempuan warganegara Sri Lanka juga ditahan yang kesemua dalam lingkungan umur di antara 22 hingga 42 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruslin berkata, semakan awal mendapati seorang lelaki warganegara Vietnam mempunyai pas yang masih sah laku, dua perempuan warganegara Vietnam dan seorang perempuan warganegara Sri Lanka pula tinggal lebih masa.
Katanya, warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi merampas sebanyak 209 naskhah pasport pelbagai negara terdiri daripada 131 naskhah pasport India, 22 naskhah pasport Sri Lanka, 18 naskhah pasport Bangladesh dan 10 naskhah pasport Indonesia.
“Selain itu turut dirampas 10 naskhah pasport Vietnam, lapan naskhah pasport Nepal, enam naskhah pasport Pakistan dan empat naskhah pasport Myanmar,” katanya.
Ruslin berkata, pasukan operasi turut menyita sebuah kenderaan Proton X70, sebuah kenderaan Proton Exora, sebuah kenderaan Nissan Almera dan sebuah kenderaan Audi.
Katanya, kesemua warganegara asing ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3), Sek.15(4) dan Sek.56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.
“Ketiga-tiga warga tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
“Jabatan ini akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. – UTUSAN