Sijil Kemahiran Malaysia tahap 6 hingga 8 setarah Ijazah Pertama - TPM

Sijil Kemahiran Malaysia tahap 6, 7 dan 8 setaraf Ijazah Sarjana Muda – TPM

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 6, 7 dan 8  setaraf dengan ijazah pertama atau Ijazah Sarjana Muda yang dipersetujui pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan ini diharapkan dapat memberi peluang yang lebih besar kepada generasi belia khususnya dalam bidang kemahiran.

“Ia selaras dengan Dasar Tahfiz Negara (DPTN) yang merupakan inisiatif kerajaan untuk memperkasa pendidikan tahfiz dengan memastikan pembangunan institusi tahfiz yang lebih sistematik, selaras dan relevan dengan keperluan semasa.

“DPTN bertujuan untuk melahirkan huffaz yang bukan sahaja mahir dalam menghafaz Al-Quran tetapi juga mempunyai kemahiran dan ilmu yang menyeluruh, selaras dengan tuntutan pasaran pekerjaan dan pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis himpunan 24k Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Majlis itu menghimpunkan 24,000 ahli al-Quran terdiri daripada pelajar tahfiz, guru tahfiz dan alim ulama dari 1,500 buah madrasah tahfiz al-Quran yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) seluruh negara.

Tambah Zahid, melalui DPTN, kerajaan berhasrat melahirkan generasi huffaz yang seimbang antara ilmu agama dan kemahiran duniawi, seterusnya membina modal insan yang berkualiti dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“Selain sijil-sijil yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 (STM 2.0) dan Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB), terdapat usaha lain akan dilakukan untuk memastikan pelajar tahfiz dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Ia diharapkan dapat meningkatkan peluang pendidikan dan memperkukuh sistem pendidikan tahfiz di Malaysia,” tambahnya.

Zahid juga berharap kerajaan dapat menambah peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentang pada bulan depan.

Menurut beliau, terdapat lebih 2,500 maahad tahfiz yang masih belum berdaftar kerana tidak cukup syarat sebagai sebuah institusi pendidikan.

Bagaimanapun, sehingga kini 1,199 maahad tahfiz berdaftar di bawah JAKIM membabitkan 125,000 pelajar berdaftar.

“Bagi pihak pelajar, saya minta Perdana Menteri cari jalan tambahkan peruntukan untuk 2,500 maahad tahfiz supaya dipermudahkan proses pendaftaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, program Eksplorasi TVET-Tahfiz yang dianjurkan di bawah naungan Majlis TVET Negara (MTVET) bertujuan untuk menyebarkan inisiatif dan potensi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada komuniti tahfiz di Malaysia.

Jelas beliau, pihaknya menyasarkan seramai 10,000 huffaz di seluruh negara akan menyertai TVET menjelang 2027.

“Program ini diharap dapat memperkenalkan bidang TVET sebagai pilihan kerjaya yang relevan dan berdaya maju bagi para huffaz.

“Ia diharap dapat memupuk minat golongan ini untuk melibalkan diri dalam sektor teknikal dan vokasional,” katanya.

Turut hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Naim Mokhtar, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya