Sijil halal: Teresa disiasat, saksi-saksi akan dipanggil

Sijil halal: Teresa disiasat, saksi-saksi akan dipanggil

TAN SRI RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak lima kertas siasatan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataanya berhubung isu pensijilan halal yang dikatakan membebankan peniaga di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan selain Seksyen 505(b)Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, siasatan akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) melibatkan isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).

“Semua saksi-saksi termasuk pemimpin berkenaan akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Razarudin sekali lagi mengingatkan walaupun terdapat kebebasan memberikan pendapat dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan namun terdapat limitasinya.

Beliau berkata, PDRM menasihatkan semua rakyat  tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang akhirnya boleh mencetuskan kegusaran  awam dan mengapi-apikan antara kaum. 

“Kenyataan bersifat sedemikian juga merupakan satu kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan iaitu kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam. 

“Semua masyarakat diseru untuk menghayati prinsip rukun negara,” tegasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kenyataan dikeluarkan Teresa dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kenyataan Naib Presiden DAP itu hanya mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Anwar juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Teresa tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang disifatkan tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

Kelmarin, Teresa berkata, cadangan pelaksanaan pensijilan halal ke atas restoran makanan seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Ini kerana, Teresa mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambahkan kos pentadbiran.

Terdahulu,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)  mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Kenyataan Teresa itu dikecam pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN