Sijil halal: `DAP masuk campur urusan Islam tapi tidak ditangkap’

Sijil halal: `DAP masuk campur urusan Islam tapi tidak ditangkap’

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mempertikai Kerajaan Perpaduan yang tidak mengambil tindakan terhadap Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh berkaitan cadangan mewajibkan sijil halal di semua restoran dan syarikat makanan menyentuh isu 3R (Raja, agama, bangsa).

Kata beliau, sekiranya kenyataan sama dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang maka akan terus ditangkap.

“DAP terang-terang masuk campur urusan orang Islam tapi itu masih dianggap pandangan peribadi. Lemah.

“Bayangkan kalau yang cakap tentang 3R ini (dari) pemimpin pembangkang. Pagi bercakap, tengah hari sudah kena tangkap,” kata beliau di Facebook.

Sebelum ini, Jakim dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun, Teresa kemudian dilapor menyatakan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Teresa berkata, langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Susulan  itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh berhubung isu sijil halal yang melibatkan umat Islam tidak membantu kerajaan menjernihkan keadaan.

Namun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kenyataan Teresa adalah mewakili kebimbangan bukan Islam dan ia tidak harus dipolemikkan

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi mendakwa, Anthony melawan Perdana Menteri dengan mempertahankan kenyataan Teresa.

“PMX (Anwar) kata kenyataan nyonya DAP (Teresa) adalah bersifat peribadi. Anthony pula pertahankan kenyataan nyonya DAP. Kononnya ia mewakili kebimbangan masyarakat bukan Islam.

“Nampaknya, Abang Besar begitu berani sanggah bossnya sendiri dalam Kabinet. Begitulah besarnya kuasa DAP sebagai Abang Besar dalam kerajaan hari ini. Biadap,” dakwanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya