Sidang DUN Pahang: Wan Rosdy kecewa kenyataan Rosli

Sidang DUN Pahang: Wan Rosdy kecewa kenyataan Rosli

WAN Rosdy Wan Ismail menyampaikan ucapan penangguhan Sidang Dewan Undangan negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini. - UTUSAN/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kecewa dengan kenyataan  Pesuruhjaya Pas Pahang dalam sebuah portal berita milik parti itu yang menyatakan hanya parti itu boleh diharap untuk membawa agenda Islam.

Wan Rosdy berkata, kenyataan Rosli Abdul Jabar itu merkeupakan satu kenyataan riak dan sombong selain dilihat cuba membangkitkan sentimen dan persepsi negatif, seolah-olah kerajaan negeri tidak melakukan sebarang pembangunan bagi mengukuhkan syiar Islam.

Katanya, laporan berita itu bukan sahaja mempertikai usaha dilaksanakan kerajaan negeri tetapi dilihat turut mempertikai kewibawaan Sultan Pahang,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku ketua agama Islam negeri.

“Telah banyak usaha, cadangan, nasihat dan juga saranan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dalam menyubur syiar Islam di bumi Pahang.

“Malah, pada persidangan lalu, saya telah jelaskan dengan panjang lebar mengenai usaha-usaha yang telah dilaksanakan kerajaan negeri. Dan saya rasa, saya perlu nyatakan sekali lagi pada persidangan kali ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Sidang Dewan Undangan negeri (DUN) di sini, hari ini.

Katanya lagi, pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri dalam menyuburkan syiar Islam   seperti menubuhkan Maahad Tahfiz Negeri Pahang sehingga menjadi sebuah institusi pendidikan terbaik di negara ini dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

“Kerajaan negeri juga telah dan sedang membina 37 masjid baharu sejak lima tahun lalu, di mana 18 buah telah siap dibina, 15 lagi dalam pembinaan dan empat lagi dalam proses ukur tanah dan reka bentuk.

“Kerajaan negeri juga telah membentangkan 14 rang undang-undang (RUU) atau enakman berkaitan agama Islam serta diluluskan di dewan yang mulia ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN