KUANTAN: Pahang merekodkan 5,941 kes penipuan secara dalam talian membabitkan kerugian sebanyak RM114.6 juta dalam tempoh 2021 hingga Mei lalu.
Daripada jumlah tersebut, Kuantan mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 2,470 kes membabitkan kerugian RM51. 8 juta diikuti Bentong (RM17.8 juta), Temerloh (RM12.8 juta), Raub (RM7.2 juta) dan Cameron Highlands (RM5.2 juta).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang mengadakan pameran pencegahan kepada semua agensi mahupun kerajaan atau swasta.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sentiasa bekerjasama dengan agensi luar untuk memberi ceramah berkaitan penipuan jenayah siber.
“Dalam tempoh Januari hingga Mei lalu, sebanyak 12 pameran dan 86 ceramah pencegahan diadakan di seluruh negeri ini.
“PDRM Pahang juga menggunakan platform media sosial untuk memberikan maklumat pencegahan jenayah siber dan modus operandi terkini,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif (BN-Inderapura) dalam Sidang Dewan Undangan negeri (DUN) Pahang, hari ini.
Menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar berkaitan tangkapan ke atas mereka yang terlibat dalam penipuan terbabit, Chong Siang berkata, terdapat kesukaran untuk mengesan penjenayah, namun menegaskan polis sentiasa berusaha melakukan siasatan terhadap kes dilaporkan.
“Biasanya selepas terima laporan polis, kita akan buat siasatan. Tetapi kebiasannya akaun yang diberikan adalah akaun yang telah disalahgunakan, jadi susah nak tangkap.
“Bagaimanapun, polis akan siasat dan ambil tindakan. Kita dah buat sedaya upaya, bukan senang siasat satu persatu kerana kes terlalu banyak,” katanya. – UTUSAN