Siasat Teresa Kok dengan terperinci - Pemuda Pas Selangor

Siasat Teresa Kok dengan terperinci – Pemuda Pas Selangor

PN Selangor
MOHAMED SUKRI OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Pemuda Pas Selangor berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke atas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang didakwa biadap mengganggu urusan umat Islam.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, cadangan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan babi dan arak untuk mendapatkan sijil halal sangat tepat.

Katanya, perkara itu selaras dengan usaha bagi memastikan umat Islam lebih yakin dengan makanan yang dimakan, selain memastikan keselamatan makanan itu lebih terjamin.

“Berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia, 1 daripada 10 manusia jatuh sakit akibat makan makanan tercemar. Realitinya, lebih 200 penyakit disebarkan melalui makanan tercemar ini.

“Maka, pensijilan halal ini bukan sahaja menjamin kehalalan suatu makanan tersebut, bahkan sudah pasti menjamin prosedur penyediaannya yang mementingkan kebersihan. Adakah Teresa tidak kisah dengan kualiti makanan yang dimakannya?.

“Hakikatnya, jaminan keselamatan makanan sudah pun dilakukan melalui pensijilan GMP, HACCP and ISO 22000. Semua ini memerlukan kos, tetapi itulah prosedur yang perlu dipatuhi demi memastikan produk makanan yang dikilangkan menepati piawai,” katanya dalam kenyataan.

Isu mengenai pensijilan halal kini dilapor menjadi polemik dalam kalangan ahli politik kerajaan dan pembangkang.

Ia susulan Teresa Kok dilapor berkata, cadangan itu berpotensi menambah beban kepada peniaga kecil termasuk ribuan pengusaha restoran Melayu.

Menurutnya, pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran sekali gus menyukarkan operasi perniagaan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor menasihatkan pihak yang mempunyai cadangan dan prihatin berkaitan pensijilan halal untuk membawa perkara itu bagi dibincangkan dan diteliti dalam mesyuarat.

Beliau berkata, perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum tidak perlu dijadikan isu sehingga menimbulkan kontroversi.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata, mencari makanan yang halal merupakan kewajipan setiap umat Islam, malah suatu makanan itu dihukum haram sekiranya tidak menepati syariat Islam.

“Halal bukan sekadar jaminan keselamatan terhadap makanan, tetapi ia merupakan identiti dan prinsip umat Islam itu sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN