PETALING JAYA: Kerusi nombor satu Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang kosong lima bulan lalu didakwa akan diumumkan Selasa ini.
Utusan Malaysia difahamkan, posisi itu merupakan jawatan terbuka dan sesiapa sahaja dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan boleh menerajui AADK.
Malah, satu pengumuman dipercayai akan dibuat Selasa ini berhubun pengisian jawatan tersebut.
Selain kekosongan jawatan tertinggi AADK, jawatan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih menjadi tanda tanya selepas kosong sejak 19 Mac lalu.
Untuk rekod, jawatan nombor satu AADK sebelum ini dipegang oleh Sutekno Ahmad Belon yang kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia.
Sutekno yang berkhidmat di AADK tiga tahun tiga bulan sejak 11 Januari 2021 tidak lagi bertugas dengan agensi itu berkuat kuasa pada 26 April lalu.
Pada 5 September lalu, kerajaan melaksanakan reformasi besar-besaran apabila mengumumkan rombakan dan pelantikan baharu bagi 12 jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.
Ia membabitkan sembilan Ketua Setiausaha (KSU), seorang timbalan Ketua Setiausaha Kanan dan dua Ketua Pengarah yang berkuat kuasa hari ini dan 23 September ini.- UTUSAN