SG4 sebuah syarikat, bukan kerajaan - Takiyuddin

SG4 sebuah syarikat, bukan kerajaan – Takiyuddin

TAKIYUDDIN Hassan semasa sidang media di Kota Bharu, Kelantan semalam. – UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Setiausaha Ekse­kutif SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi tidak memahami pe­ranan SG4 sebagai sebuah syarikat.

Takiyuddin berkata, Mohd. Puad perlu memahami perbezaan antara sebuah kerajaan negeri dan syarikat sebelum mempersoalkan masa depan SG4 Group jika salah satu daripada empat kerajaan negeri yang dikuasai Perikatan Nasio­nal (PN) tumbang dalam pilihan raya akan datang.

“Saya tidak faham kenapa perkara ini sukar difahami oleh Speaker Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Johor (Mohd. Puad) itu. Perlu difahami SG4 Group adalah sebuah syarikat dan jika salah sebuah atau dua daripada empat negeri selaku pemegang saham mahu tarik diri, mereka boleh berbuat demikian pada bila-bila masa.

“Malah jika selepas ini, ada negeri-negeri lain mahu me­nyertai SG4 Group sehingga mungkin bertambah kepada enam negeri daripada empat negeri, juga boleh kerana ia sebuah syarikat,” kepada pembe­rita di sini semalam.

Setiausaha Agung Pas itu mem­beritahu, dalam aturan se­sebuah syarikat, setiap pertambahan atau pengurangan peme­gang saham perlu diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah (ALP) dan diikuti dengan membuat resolusi berkaitan.

Katanya, dalam sudut agihan keuntungan pula, semua pihak perlu memahami sebagai sebuah syarikat SG4 Group akan menjalankan perniagaan dan keuntungan daripada perniagaan itu dibahagikan sama rata antara semua pemegang saham.

“Katalah SG4 Group berniaga atau melaksanakan projek di Terengganu dan mendapat ke­untungan besar, maka yang beroleh keuntungan adalah sya­rikat. Jadi yang mendapat manfaat adalah kesemua empat ne­geri yang merupakan pemegang saham.

“Jika SG4 Group beroleh keuntungan RM10 juta, maka ia akan diagihkan RM2.5 juta kepada empat negeri terbabit. Jadi ia bukan isu negeri kecil atau besar, kaya atau miskin tetapi merujuk kepada pegangan saham dalam syarikat,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, SG4 Group juga boleh menceburi semua bidang perniagaan di bawah lima kluster ekonomi iaitu infrastruktur dan logistik, perdagangan, pelaburan dan industri, pertanian dan keselamatan makanan, pendidikan dan modal Insan serta sumber pendapatan baru.

“Sebagai syarikat milikan penuh empat negeri berkenaan, sudah tentu SG4 Group akan mendapat kelebihan perniagaan di semua negeri terbabit sama juga seperti syarikat milik Kerajaan Persekutuan yang sudah pasti diberi keutamaan melak­sanakan projek-projek keraja­an,” ujarnya.

Semalam, Utusan Online melaporkan Mohd. Puad mempersoalkan nasib bakal dihadapi syarikat ditubuhkan oleh empat negeri dikuasai PN, SG4 Group Sdn. Bhd. jika ada antaranya yang tumbang dalam pilihan raya.

Mohd. Puad berkata perkara itu tidak mustahil berlaku dan beliau menjangkakan keadaan itu akan mencetus masalah berangkai seperti aspek pekerja, aset, saham dan lembaga pengarahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya