PETALING JAYA: Untuk mencapai sesuatu impian yang besar bukanlah perkara yang mudah, itulah yang dianggap oleh pelakon, Meerqeen yang pernah berkongsi angan-angan untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti Oscar.
Meerqeen yang berkongsi visi hidupnya menerusi sebuah hantaran di Instagram berkata, suatu ketika dahulu impiannya untuk mencapai sesuatu kejayaan yang besar pernah diperlekehkan oleh beberapa pihak.
Namun, dia tidak patah semangat kerana yakin dengan potensi diri.
“Guru dan rakan sekelas saya pernah memberitahu saya bahawa impian saya terlalu besar, ia di luar jangkauan saya dan mustahil untuk dicapai. Saya amat sedih mendengar keraguan seperti itu, terutamanya daripada mereka yang sepatutnya menyokong.
“Walau bagaimanapun, saya telah menyedari bahawa pendapat ini selalunya lebih mengenai batasan orang lain daripada potensi saya sendiri.
“Impian yang di luar jangkauan selalunya perlu dikejar, kerana ia mendorong kita untuk berkembang, mengatasi cabaran dan mengubah segala kemungkinan itu,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Menyedari untuk mencapai sesuatu impian itu tidak mudah, Meerqeen bagaimanapun menganggap perkara itu sebagai cabaran buat dirinya untuk lebih bekerja keras sebelum mencapai kejayaan yang diimpikan.
“Perjalanan menuju ke arah mencapai sesuatu yang besar itu tidak mudah. Ia melibatkan kerja keras, daya tahan, dan keberanian untuk terus berjalan walaupun menghadapi halangan dan keraguan.
“Saya telah belajar bahawa saiz impian bukanlah alasan untuk berputus asa sebaliknya menjadi motivasi untuk berusaha lebih keras. Setiap pencapaian hebat bermula dengan kepercayaan bahawa ia boleh dilakukan, walaupun orang lain berkata sebaliknya,” jelasnya.
Meerqeen yang turut berkongsi foto trofi Oscar menerusi perkongsian tersebut sempat menitipkan kata-kata semangat buat pengikutnya.
Kata pelakon Melur Untuk Firdaus itu, setiap impian yang ingin dikecapi merupakan cerminan kepada potensi setiap individu dan bukan pada limitasi yang ditetapkan oleh orang lain.
“Kepada sesiapa yang pernah menghadapi keraguan yang sama atau diberitahu aspirasi mereka terlalu hebat, ingat ini, impian anda adalah cerminan potensi anda sendiri. Bukan had yang ditetapkan oleh orang lain.
“Sahut cabaran, kekal dengan visi anda dan terus berusaha ke arah matlamat anda dengan keazaman yang tidak berbelah bahagi. Jalannya mungkin sukar, tetapi dalam menghadapi cabaran inilah kita menemui kekuatan dan keupayaan sebenar kita.
“Saya berharap semua orang berani untuk menentang keraguan dan mengejar impian mereka dengan semangat dan ketabahan, tanpa mengira sebesar mana mereka melihatnya. Tiada benci tetapi cinta,” katanya.-UTUSAN