Serbuan di lokasi perniagaan GISBH sebahagian siasatan - KPN

Serbuan di lokasi perniagaan GISBH sebahagian siasatan – KPN

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan beberapa siri serbuan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pusat perniagaan termasuk bangunan Ibu Pejabat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Bandar Country Homes, Rawang. 


Beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, serbuan berkenaan dilakukan sejak awal pagi tadi di beberapa lokasi di seluruh negara.


Razarudin memberitahu, tindakan itu adalah sebahagian daripada siasatan PDRM selepas penahanan 31 individu termasuk Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH pada Khamis lalu. 

“Saya sahkan, serbuan dilakukan sejak 6 pagi tadi. Sebarang perkembangan dan maklumat akan dimaklumkan kemudian,” katanya di sini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan terhadap beberapa individu termasuk kanak-kanak dalam serbuan Op Global di pusat perniagaan GISBH di Bandar Country Homes, Rawang di sini, untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, kesemua mereka terdiri daripada wanita, remaja dan kanak-kanak berusia sekitar tujuh sehingga 50-an.

Mereka ditemukan dalam premis perniagaan dan kediaman di pusat perniagaan milik GISBH semasa serbuan dijalankan PDRM bermula kira-kira 6 pagi.

Susulan pemeriksaan, mereka dibawa menaiki enam van dan tiga kereta Perodua Aruz ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk proses dokumentasi.

Operasi oleh Polis Kontinjen Selangor bersama Polis Simpanan Persekutuan (PSP) turut dibantu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Dalam operasi bermula pukul 6.30 pagi itu, puluhan lot premis perniagaan seperti restoran, kedai dobi, kedai pencetakan, poliklinik, hotel, bakeri, pusat khidmat media, butik dan galeri disyaki milik GISBH diserbu pihak berkuasa.

Dalam operasi sama, MPS turut merobohkan beberapa struktur binaan haram selain menyita premis-premis perniagaan milik GISBH yang didapati tidak berlesen.

Selain di Bandar Country Homes, Op Global dijalankan di seluruh negara oleh Bukit Aman dan Polis Kontinjen Negeri di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN