PUCHONG: Malaysia melalui Kementerian Luar mengutuk serangan biadab yang dilakukan rejim Zionis menggunakan alat kelui atau pager untuk membuat letupan hingga meragut nyawa manusia yang tidak bersalah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, serangan tersebut merupakan tindakan paling tidak berperikemanusiaan.
Tegas beliau, kerajaan telah pun menyatakan bantahan keras terhadap serangan yang mengorbankan orang awam itu.
“Kenyataan telah dikeluarkan oleh KLN mengutuk serangan biadab daripada Israel menggunakan pager yang bermakna seluruh rakyat (Lubnan) yang memakainya terkesan.
“Paling tidak berperikemanusiaan. Ia (mangsa) bukan pasukan tentera dan sebagainya, (tetapi) wanita, anak-anak. Jadi, kita telah bantah keras,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam, di sini semalam.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan beratus-ratus alat kelui yang digunakan oleh anggota Hizbullah di seluruh Lubnan meletup semalam, membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan kira-kira 2,800.
Sumber kanan keselamatan Lubnan dan sumber lain dilaporkan mendakwa agensi perisikan Israel, Mossad memasukkan sejumlah kecil bahan letupan di dalam 5,000 alat kelui buatan Taiwan yang dipesan oleh kumpulan Hizbullah Lubnan beberapa bulan sebelum kejadian letupan pada Selasa.
Sehubungan itu, Hizbullah dipercayai akan melakukan serangan balas terhadap Israel.
Sementara itu, berhubung kes anggota pengiring yang dipercayai memukul seorang pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya (OKU), Anwar menggesa semua pihak memberi laluan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan dan tidak menjatuhkan hukuman mengikut khabar angin semata-mata.
Beliau berkata, kerajaan sudah menyatakan pendirian tegas dalam isu ini dan PDRM serta Peguam Negara perlu berpuas hati dalam siasatan yang dilakukan sebelum tindakan diambil.
“Saya tidak bersetuju satu hal. Prinsip negara ini (merupakan) negara hukum (itu) betul tetapi jangan hukum berdasarkan khabar angin atau persepsi.
“Kes ini siapa kata (ia) tutup? Ya, kadangkala proses mengambil masa tetapi ini menjadi perhatian. Saya secara peribadi mengambil tahu (tentang) hal sedemikian sama ada kes melibatkan OKU atau biasa,” katanya. – UTUSAN