Seorang maut, 50 rumah rosak dibadai ribut

Seorang maut, 50 rumah rosak dibadai ribut

MOHD. Jaafar Shaari dan isteri, Rugayah Yahya menunjukkan bumbung rumahnya yang diterbangkan angin, di Kampung Darat, Kijal, Kemaman, semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kejadian ribut yang berlaku di beberapa kampung di pesisir Pantai Penunjuk, Kijal di sini sehingga meragut nyawa seorang peniaga, disifatkan tragedi paling buruk dalam tempoh 26 tahun.

Insiden yang berlaku kira-kira pukul 6.15 petang semalam turut menyebabkan lebih 50 rumah di Kampung Penunjuk dan Kampung Darat mengalami kerosakan, selain meruntuhkan sebuah pondok menunggu bas.

Tinjauan di lokasi mendapati deretan kedai dan beberapa buah bangunan kerajaan termasuk sekolah, pondok polis serta klinik kesihatan turut mengalami kerosakan pada struktur atap dan beberapa buah kenderaan turut dihempap pokok tumbang dan bumbung yang runtuh.

Seorang penjawat awam, Mohd. Jaafar Shaari, 59, berkata, dia dan isteri, Rugayah Yahya, 58, serta anaknya, Nur Aqilah Najihah, 22, lari bertempiaran menyelamatkan diri selepas angin kencang menerbangkan hampir keseluruhan bumbung rumahnya sekelip mata.

“Kami sangat panik, tak tahu nak pergi ke mana sebab boleh dikatakan seluruh bumbung rumah kami diterbangkan angin satu persatu.

“Isteri saya sempat menyorok bawah meja makan sementara anak saya nyaris dihempap kepingan bumbung yang jatuh ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Darat, Kijal, dekat sini.

Seorang lagi penduduk, Zaharah Mamat, 63, berkata, dia yang tinggal berdua bersama suami, Abdullah Shaari, 67, hanya mampu berdoa dan melaungkan azan ketika kejadian itu berlaku bagi meredakan angin kencang itu.

“Suami saya tidak mampu berjalan sendiri ekoran kecede­raan di kaki selepas kemalangan dua minggu lalu. Saya terpaksa memimpin suami ke hulu ke hilir dalam rumah untuk berlindung kerana atap rumah di­terbangkan angin.

“Saya cuba menjerit memang­gil jiran untuk me­numpang teduh di rumahnya, namun rumah jiran juga ditimpa nasib sama,” katanya.

Suhaimi Ismail, 57, pula berkata, situasi angin kencang yang berlaku petang semalam, pertama kali dialaminya.

“Masa kejadian memang angin sangat kuat dengan bunyi yang mengerikan. Tak boleh nak gambarkan macam mana situasi itu, sebab tak pernah terjadi sebegini selama saya duduk di sini sejak kecil.

“Biasanya hanya tengok dalam berita berlaku di kawasan lain, bila berdepan dengan situasi sebenar memang kita jadi panik tak tahu nak buat apa. Habis bumbung musnah saya rosak dan ada juga beberapa peralatan bengkel turut rosak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya