Seorang lagi suspek samun di Semenyih ditahan

Seorang lagi suspek samun di Semenyih ditahan

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menahan seorang lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes samun sebuah rumah di Kampung Pasir, Semenyih di sini, pada 31 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 45 tahun berasal dari Sabah itu direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas ditahan di Lahad Datu, Sabah.

“Semakan mendapati suspek memiliki 10 rekod jenayah dan kes dadah,” katanya ketika ditemui selepas majlis Tribute To Tun Hanif di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes samun sebuah rumah di Kampung Pasir, Semenyih di sini, pada 31 Julai lalu diburu polis.

Ia susulan tiga lelaki yang merupakan anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun sebuah rumah.

Dua anggota polis berusia 32 dan 35 tahun yang bertugas sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan di Batalion 19, PGA Cheras, 12.20 tengah malam pada 1 Ogos lalu.

Susulan itu, seorang lagi suspek yang juga anggota PGA berusia 24 tahun ditahan selepas lelaki itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada hari sama.

Seorang suspek orang awam turut menyerah diri di IPD Kajang pada pukul 1.40 pagi pada 2 Ogos dan direman sehingga 8 Ogos lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN