Selut tebal jejas pendapatan nelayan di Sungai Batu

Selut tebal jejas pendapatan nelayan di Sungai Batu

ZAKARIA (kiri) menunjukkan kawasan berselut tebal yang menganggu sumber pendapatan nelayan di Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang sejak Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Lebih 100 nelayan di Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini mendakwa pendapatan harian mereka terjejas teruk berikutan masalah selut tebal yang berlaku di kawasan itu sejak awal bulan lepas.

Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail berkata, kejadian selut dengan kedalaman melebihi satu meter iaitu sehingga paras dada telah menyebabkan aktiviti penangkapan ikan dan udang terhenti sekali gus memberi kesan terhadap pendapatan harian nelayan di situ.

Beliau berkata, sebelum projek penambakan Pulau Silikon bermula, kejadian selut tebal itu boleh dikatakan tidak pernah berlaku.

“Sampan nelayan sering terperangkap dalam selut sekali gus menyukarkan mereka turun ke laut untuk menangkap ikan dan udang. Untuk pengetahuan, bulan lepas sahaja, kami hanya mampu pergi ke laut selama 10 hari disebabkan masalah ribut dan selut,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Sehubungan itu, kata Zakaria, pihaknya telah menulis surat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebanyak dua kali memohon agar satu siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar masalah selut itu.

“Kami mahu siasatan dijalankan kerana sebelum ini, tiada fenomena luar biasa berlaku di sini. Tetapi, selepas projek tersebut bermula, pelbagai kejadian pelik berlaku di sini,” ujar beliau.

Sementara itu, seorang nelayan, Sulaiman Budin, 54, memberitahu, disebabkan masalah selut tebal di kawasan berkenaan, nelayan tidak dapat turun ke laut untuk tempoh yang lama.

“Jika nak keluar ke laut, sama ada keluar sangat awal atau sangat lambat. Selalunya nelayan akan keluar pada jam 11 pagi dan sebelum jam 3 petang, dah kena sampai ke pesisiran,” katanya yang berpengalaman sebagai nelayan sejak 15 tahun lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN