KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Adriana Adnan tidak menolak sekiranya diberikan peluang untuk bergelar penyanyi.
Hasrat itu timbul apabila Adriana terlibat dalam sebuah projek menyanyikan runut bunyi rasmi montaj pembukaan rancangan kelolaannya, Tiga Is3, bersama Uyaina Arshad dan Syamim Freida.
“Sebenarnya idea ini datang daripada Uyaina yang cadangkan kami nyanyi lagu montaj pembukaan. Pihak pengurusan, FYP Media pun menyambut baik dan sokong idea itu.
“Saya pun sedar diri, tidaklah pandai sangat bernyanyi. Oleh itu saya ke kelas vokal untuk pastikan lagu bertajuk Permata yang dirakam itu sedap didengar. Waktu sesi rakaman pun cikgu vokal hadir sekali.
“Saya tidak sangka pula dekat Instagram ramai yang komen terhibur dengar saya bernyanyi. Selama ini memang saya suka nyanyi karaoke, tapi ini adalah kali pertama saya bernyanyi di khalayak ramai,” katanya.
Adriana ditemui di majlis sidang media program Tiga Is3, di restoran The Majapahit, pada Jumaat.
Tidak menutup rezeki sekiranya ditawarkan menjadi penyanyi, Adriana bagaimanapun mahu membawakan lagu santai dan ceria tanpa berhasrat ‘berlawan’ dengan mana-mana artis.
“Alang-alang sudah di bawah pengurusan ini, saya okay sahaja bergelar penyanyi asalkan lagunya sesuai dengan rentak santai.
“Saya bukanlah mahu bertanding dengan mana-mana penyanyi, sekadar mengisi ruang dan kekosongan dalam industri,” jelasnya.
Program Tiga Is3 merupakan sebuah siri perbincangan mengenai topik seputar kekeluargaan dan cabaran menjadi isteri.
“Saya, Uyaina dan Syamim melalui pelbagai fasa dalam kehidupan termasuk perkahwinan. Kami berharap dengan perkongsian ini, penonton dapat mengambil sesuatu yang bermanfaat,” jelas Adriana.
Program Tiga Is3 akan ditayangkan menerusi YouTube FYP Media setiap Ahad.