KUALA LANGAT: Selangor merupakan pusat kepada kepelbagaian etnik dan kebudayaan secara tidak langsung berikutan negeri itu merupakan tumpuan ekonomi yang menjadi penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Hal tersebut berlaku apabila negeri ini dalam masa sama menjadi lokasi tumpuan migrasi dari negeri serta negara lain yang turut menyebabkan berlaku pemindahan budaya-budaya unik dari tempat asalnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hal tersebut akhirnya menjadikan Selangor kaya dengan pelbagai kebudayaan dan pendekatan kerajaan negeri tidak menghadkan nilai-nilai etnik di negeri ini.
“Dari dahulu Selangor memang terkenal menjadi pusat kebudayaan untuk semua, tempat komuniti berbilang kaum yang hidup dengan aman, sentosa dan kukuh yang menjayakan pembangunan dan kemajuan negeri.
“Pada hari ini kita dapat lihat ada sebahagian daripada masyarakat Orang Asli, Orang Banjar, Orang Jawa, Orang Bugis, kebudayaan setempat daripada masyarakat pelbagai keturunan dan generasi yang ada di dalam negeri kita.
“Hal itu menunjukkan nilai kebudayaan dan makna kesenian yang mungkin sudah dilupakan ataupun tanpa kita sedari kita nikmati bersama sebelum ini,” katanya ketika berucap pada perasmian Festival Selangor @ Batu Laut yang berlangsung sejak Jumaat lalu, hingga hari ini.
Tambahnya, kemakmuran tersebut wujud dan dibuktikan dengan pertumbuhan baik berlaku di negeri ini hasil daripada rasa percaya antara satu sama lain dalam kalangan penduduk yang hidup dengan aman dan sentosa.
Dalam pada itu, Amirudin ketika ditemui selepas majlis tersebut memberitahu, meskipun wujud kepelbagaian budaya, namun beliau akan memastikan Selangor mempunyai identiti sendiri seperti kumpulan pemuzik cempuling dan bunga tanjung.
“Termasuk perkenalkan citra Selangor, kalau di negeri lain mereka ada imej sendiri, tetapi Selangor disebabkan semuanya ada jadi kita tiada imej itu dan sekarang kita bina cempuling sebagai salah satu imej kepada negeri.
“Sudah dibuat dekat sekolah-sekolah dalam tiga hingga empat tahun, sekarang kita ada 15 kumpulan dan kita akan lebarkan ke daerah-daerah lain supaya ia boleh dikembangkan,” ujarnya.
Katanya lagi, kerajaan negeri bersedia memberikan peruntukan khas bagi memperkembangkan kebudayaan dan kesenian negeri ini dalam belanjawan tahun hadapan. – UTUSAN