PETALING JAYA: Biarpun sudah empat tahun pelakon Allahyarham Ashraf Sinclair meninggal dunia, penyanyi dan aktres Bunga Citra Lestari tetap menitipkan ucapan ulangtahun kelahiran buat arwah suaminya itu sebagai penghargaan.
Bunga atau lebih mesra disapa BCL, telah memuat naik foto Allahyarham Ashraf yang sedang meniup lilin pada kek ulangtahunnya diiringi lagu Gone Too Soon nyanyian Michael Jackson di Instagram.
“Selamat ulang tahun di syurga. Saya rasa seperti terlalu banyak kata-kata yang mahu diungkapkan, terlalu banyak cerita untuk dikongsikan. Tapi, saya tidak tahu nak ungkapkan,” ucapnya.
Sementara itu, penyanyi lagu Wanita Terbahagia itu juga sempat menitipkan kata-kata apresiasi dan meluahkan rasa rindu buat arwah suaminya itu.
“Apa yang saya boleh katakan adalah terima kasih. Terima kasih untuk semua kenangan indah, setiap susah payah yang kita sudah lalui, suka, tawa dan tangis yang kita kongsi bersama. Terima kasih untuk segala memori yang kita harungi bersama.
“Awak terlalu bermakna buat saya dan semua yang menyayangi awak. Semoga awak meraikannya dengan baik di sana. Saya rindu awak,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tersentuh dengan perkongsian itu, BCL turut menerima pelbagai reaksi dari pengikut dan rakan selebriti di ruangan komen.
Lebih mencuri perhatian, suaminya, Tiko Aryawardhana juga turut meninggalkan simbol hati berwarna merah di ruangan komen perkongsian itu.
“Definisi walaupun dirinya bersama yang lain, tapi hati dan cintanya masih untuk almarhum,” komen seorang peminatnya.
“Al-fatihah dibaca buat arwah Ashraf Sinclair. Semoga arwah dicucuri rahmat dan kasih sayang-Nya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” komen seorang lagi pengikutnya.
“Sentiasa rindu, Ashraf,” komen seorang lagi pengikutnya.
Untuk info, BCL dan Ashraf telah berkahwin pada tahun 2008 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Noh Aidan Sinclair, 13.
Namun, Ashraf dikhabarkan telah meninggal dunia ketika tidur akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.
Pada 3 Disember tahun lalu, BCL telah mengakhiri zaman solonya bersama Tiko Aryawardhana yang merupakan seorang ahli perniagaan. -UTUSAN