Sekolah model K9 tangani keciciran anak Orang Asli

Sekolah model K9 tangani keciciran anak Orang Asli

Wong Kah Woh (tengah) menyantuni murid-murid SK RPS Banun semasa mengadakan lawatan kerja ke sekolah berkenaan dekat Gerik, Perak hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Pelajar Orang Asli tidak lagi tercicir atau terpaksa menaiki bot ke sekolah apabila sebuah Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dibina di Kampung Air Banun dekat sini.

K9 merujuk kepada sembilan tahun persekolahan dengan murid Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga bakal meneruskan persekolahan di sekolah sama.

Kewujudan Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun berkonsep K9 yang terletak di pendalaman Lebuhraya Timur-Barat (LRTB), telah memudahkan Orang Asli untuk menyambung pendidikan ke sekolah menengah.

Sebelum ini ada antara mereka sekadar menghabiskan persekolahan setakat Tahun Enam kerana lokasi sekolah menengah yang jauh.

SK RPS Banun turut dilengkapi kemudahan asrama sekali gus memberi manfaat kepada murid yang tinggal di kawasan pedalaman dengan geografi mencabar, jauh serta dikelilingi tasik dan hutan tebal.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, konsep K9 bertujuan untuk menangani isu keciciran persekolahan khususnya dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak.

“Jarak dari kampung ke sekolah selalunya amat jauh. Misalnya ada murid di SK RPS Banun ini, sekiranya mereka hendak datang dari kampung mereka setiap hari, sekurang-kurangnya lebih 2 jam. Ada yang perlu menaiki bot lebih sejam,” kata semasa mengadakan lawatan kerja ke SK RPS Banun dekat sini hari ini.

SK RPS Banun terletak kira-kira 57 kilometer dari pekan Gerik atau perjalanan memakan masa sehingga satu jam.

Sekolah itu diasaskan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada 1979 sebelum diambil alih oleh Kementerian Pendidikan pada 1993 dan kemudian diperluaskan sebagai sekolah K9 dengan menyediakan pendidikan peringkat prasekolah sehingga Tingkatan Tiga.

Ketika ini terdapat seramai 304 murid dan pelajar di sekolah tersebut terdiri daripada 12 murid prasekolah, 152 murid sekolah rendah dan 140 pelajar sekolah menengah.

Sementara itu, Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan akan terus mengenal pasti dan menjangka pertambahan sekolah K9 dalam hasrat meningkatkan akses pendidikan kepada rakyat.

Jelasnya, sehingga sesi persekolahan tahun ini, terdapat 28 buah sekolah berkonsepkan K9 manakala dua buah sekolah K11 iaitu sehingga Tingkatan Lima.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya