Sekat royalti, projek dirancang tidak dapat dilaksana - Utusan Malaysia

Sekat royalti, projek dirancang tidak dapat dilaksana

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa banyak projek pembangunan dirancang kerajaan negeri tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna sejak royalti petroleum disekat pada tahun 2023.

Beliau berkata, antara projek pembangunan seperti pembinaan kluster perumahan rakyat, bantuan perniagaan, sukan, belia, bengkel kemahiran, bantuan kesihatan kepada pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan pendidikan.

Malah, tambahnya, projek pembinaan pusat aktiviti Islam, Tafaqquh Fiddin di Taman Tamadun Islam di sini juga terganggu dan terencat akibat tindakan tersebut.

“Tidakkah mereka nun di sana (Kerajaan Persekutuan) mempunyai sedikit perasaan ihsan sebagaimana yang dilaung-laungkan apabila melihat terencatnya pelbagai projek dan program yang terganggu di negeri Terengganu ini akibat disusahkan penyaluran hasil negeri royalti petroleum ini,” katanya dalam catatan di Faceboknya hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata,
projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia dan bukan berkenaan projek Rolling Plan di bawah pelaksanaan Kerajaan Persekutuan dapat berjalan seperti biasa.

“Dalam hal ini, sekali pun saya tidak maksudkan mengenai projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia dan juga bukanlah berkenaan dengan projek Rolling Plan di bawah pelaksanaan Kerajaan Persekutuan yang Alhamdulillah dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Ahmad Samsuri ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai lalu dilaporkan berkata, hasil rundingan dibuat dengan Kerajaan Persekutuan sebelum ini membolehkan kerajaan negeri mendapatkan kelulusan wang royalti berjumlah RM792.32 juta.

Katanya, setakat ini kerajaan negeri masih belum menerima baki royalti petroleum sebanyak RM367.15 juta daripada keseluruhan RM792.32 juta yang diluluskan Kerajaan Pusat itu.

Jelas beliau, berdasarkan anggaran keseluruhan, wang royalti sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri pada 2023 dan 2024 masing-masing sebanyak RM1.524 bilion.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri hanya menerima sejumlah RM802.18 juta sahaja sepanjang tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya