MELAKA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digesa menyegerakan pelaksanaan projek penambakan pesisir Pantai Puteri di sini yang semakin terhakis dan dikhuatiri boleh mengancam nyawa.
Mereka menyifatkan angin monsun ketika ini ditambah ribut kencang yang membadai kawasan itu menyebabkan hakisan bertambah buruk.
Seorang penduduk, Abdul Aziz Yahya, 62, berkata, dalam kejadian baru-baru ini, sebatang pokok ru berhampiran pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Perigi tumbang dan mencederakan seorang pengunjung.
“Pengunjung itu cedera di kaki dan tangan apabila pokok ru yang tumbang hampir menimpa khemah mereka tidak jauh dari pangkalan nelayan. Pokok itu tumbang disebabkan hakisan hingga ke akar. Mujur tidak melibatkan kehilangan nyawa.
“Saya dengar macam-macam cerita pasal penambakan pesisir Pantai Puteri tetapi bila hendak buat? Makin lambat keadaan hakisan bertambah buruk dan imej pantai peranginan ini terjejas. Tengoklah sepanjang satu kilometer (km), pokok ru semakin menampakkan akar dan bila-bila masa boleh tumbang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, projek penambakan bernilai RM30 juta di pesisir Pantai Puteri sejauh 2.5 km perlu dilakukan segera bagi mengelak pantai peranginan popular itu musnah akibat hakisan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, sejak Julai lalu, hakisan menyebabkan tebing runtuh, struktur sebuah restoran rosak, warung terbalik dan sebuah rumah rehat kehilangan pantai.
Sementara itu, seorang peniaga, Mahat Jantan, 67, berkata, gerainya beberapa kali roboh dan terpaksa berpindah dari kawasan pantai ke laluan pejalan kaki.
“Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa memasang khemah melangkau kawasan laluan jalan kaki tetapi telah lima kali disaman Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB),” katanya. – UTUSAN