Sebutan semula rayuan Da’i Syed pada 5 November - Utusan Malaysia

Sebutan semula rayuan Da’i Syed pada 5 November

DA’I Syed
DA’I Syed ditemani isterinya hadir ke Mahkamah Tinggi bagi mendengar prosiding pengurusan rayuan keputusan kesnya, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi, hari ini menetapkan tarikh sebutan pada 5 November ini bagi rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen berhubung kesalahan merogol dihadapi oleh pendakwah selebriti Da’i Syed.

Dalam prosiding pengurusan kes itu, Penolong Kanan Pendaftar, Nadia Othman menentukan tempoh sehingga tarikh tersebut sementara menunggu alasan penghakiman oleh Mahkamah Sesyen terhadap Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, yang diputuskan pada 30 Ogos lalu.

Peguam mewakilinya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat ketika ditemui selepas prosiding itu berkata, Mahkamah Tinggi mengarahkan beliau dan anak guam tidak membincangkan perincian dan fakta kes kepada umum untuk mengelakkan berlaku subjudis.

Menurutnya, ini kerana prosiding rayuan di peringkat Mahkamah Tinggi sudah pun bermula dan ia perlu dihormati untuk memberi ruang kepada perbicaraan berjalan sehingga keputusan diperoleh.

“Saya tak boleh bercakap tentang fakta kes, saya minta maaf. Sebab ia sangat sensitif, tetapi apa yang saya boleh katakan, ketika kita memohon penangguhan pelaksanaan salah satu alasan kita, kita mempunyai rayuan pembelaan yang bermerit.

“Jadi, alasan itu dipertimbangkan oleh hakim dan membenarkan penangguhan, jadi perinciannya saya tak boleh jelaskan sebab kita adalah peguam yang baru dilantik, kita pun hendak kenal pasti alasan penghakiman,” katanya.

Sementara itu, dalam notis rayuan yang difailkan oleh Syed Syed Shah Iqmal melalui peguamnya pada 30 Ogos lalu memaklumkan rayuan dibuat kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan diberikan oleh Hakim Norazlin Othman.

“Perayu tidak berpuas hati terhadap keputusan yang diberikan Hakim Mahkamah Sesyen, Shah Alam pada 30 Ogos 2024 yang telah mensabitkan perayu dengan pertuduhan di bawah seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan memerintahkan perayu dihukum penjara selama 10 tahun bermula tarikh sabitan serta tiga kali sebatan.

“Rayuan ini adalah terhadap keseluruhan keputusan iaitu terhadap sabitan dan hukuman. Perayu memohon sesalinan nota keterangan bertaip yang dicatatkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen,” katanya.

Terdahulu, Da’i Syed, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan merogol seorang wanita di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dia dibebaskan dengan jaminan selepas dipenjara selama 21 hari apabila Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Aslam Zainuddin membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman bermula 20 September dengan jaminan sebanyak RM35,000 bersama dua orang penjamin.

Jelas Abu Bakar, penangguhan tersebut dibuat pada 18 September dan didengar Hakim Mahkamah Tinggi pada pukul 11 pagi 20 September.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan permohonan penangguhan pelaksanaan adalah prosedur biasa dibuat pemohon apabila keputusan kes dirayu di peringkat yang lebih tinggi sehingga keputusan baharu diperolehi.

“Kadang-kadang netizen mengatakan keadilan untuk orang kaya, itu tidak benar sebab contohnya anak guam saya di penjara 21 hari dan kalau kita tidak mendapatkan penangguhan pelaksanaan, pada tahun hadapan katakan bulan Jun kes di dengar di Mahkamah Tinggi dan katakan anak guam saya tidak bersalah, apa akan berlaku dalam tempoh pemenjaraan?

“Jadi, undang-undang di Malaysia sangat jelas mana-mana keputusan mahkamah yang dibuat, kita boleh memohon untuk membuat penangguhan pelaksanaan,” ujarnya.

Syed Shah Iqmal Syed sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Hakim Norazlin Othman memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pembelaan. Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula April 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN