KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali mendakwa ucapan berhubung beberapa fakta kes mahkamah yang pernah mensabitkan Perdana Menteri adalah haknya sebagai rakyat untuk menyatakan kebenaran.
Dakwanya, ucapannya adalah mahu mengajak rakyat untuk berfikir dan bukannya mahu menghasut untuk melakukan apa-apa tindakan yang tidak wajar.
Selaku peguam, dia mendakwa akan tetap pertahankan sistem kehakiman yang merupakan tanggungjawab sebagai peguam seperti dinyatakan oleh Ketua Hakim Negara sebelum ini di Goa, India pada Mac 2023.
“Saya minta rakyat untuk berfikir bahawa anda mempunyai hak sekiranya ada orang itu berkuasa atau berada dalam kuasa, jika dia berkata sesuatu yang tidak benar, rakyat mempunyai hak untuk bersuara.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita ada hak untuk bangun dan menyatakan ia adalah salah,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Terdahulu, Muhammad Rafique hadir ke Bukit Aman untuk diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas ( USJT) berhubung ucapannya mengupas beberapa fakta kes mahkamah yang pernah mensabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, katanya, kenyataan yang dibuat Anwar dalam isu banduan terhormat atau pertuduhan keji yang dilontarkan olehnya tidak boleh dijadikan sebagai mainan politik.
Dakwanya, sebagai seorang yang mempunyai kedudukan tertinggi di negara ini, Perdana Menteri tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mencabar keputusan mahkamah atau menghina institusi kehakiman.
“Mahkamah sudah membuat keputusan berhubung kes yang dihadapi oleh Perdana Menteri tersebut sebelum ini. Jika Anwar tidak berpuas hati dengan mahkamah, buatlah tindakan di mahkamah.
“Jangan gunakan isu itu sebagai permainan politik atau menjajanya di atas pentas politik,” katanya. – UTUSAN