Sayap: Elly Mazlein sukar ‘terbang’ tinggi - Utusan Malaysia

Sayap: Elly Mazlein sukar ‘terbang’ tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGETAHUI yang Elly Mazlein merakam single berjudul Sayap pada Januari lalu, saya amat teruja kerana mendengar lagu baharunya ibarat menanti seribu satu tahun. 

Dalam pasaran muzik sekarang, tumpuan Elly tidak lagi ke arah itu. Adalah beberapa single diterbitkan usai menyertai Gegar Vaganza 3 (GV3) pada 2016, berawal dengan Jeritan Hati di bawah KRU Music dan Dusta Cinta, cetusan idea Aina Abdul yang bagi saya adalah Sumpah 2.0. 

Pun begitu, tiada yang istimewa pada kedua-dua single balada ini untuk menaikkan semula nama Elly Mazlein setanding hits Usah Ditambah Barah Yang Tersimpan dan Bungaku Bakawali sejak mengikat kontrak bersama NAR Records. 

Tetapi, saya menghargai usaha penyanyi Sutera Kasih ini jika niatnya mahu meneruskan kelangsungan bermuzik sehingga hadirnya Sayap ciptaan Naim Daniel, Omar K., dan Iqie Hugh, yang sudah beredar di kesemua platform penstriman muzik. 

Sayap bergerak sebagai naskhah kuat baladanya dengan komposisi muzik yang membawa Elly keluar daripada sifat melankolik dan mendayu-dayu, seperti dimuatkan dalam lima album, Sutera Kasih (1997), Satu Persatu (1999), Elly (2001), Elly: Best of Ballads (2002) dan Atas Nama Cinta (2003). 

Hasil produksi seperti ini menunjukkan sisi lain Elly yang beradaptasi dengan bunyi lebih segar dan kekinian. 

Bahagian yang menarik pendengaran saya di rangkap pre-chorus 1: “Sanggup ku merasa sementara ku ada hati mu” diikuti korus dan verse 2 “Keindahan yang terang benderang, Yang hanya terbentang, Di akhir waktu kita bertemu,” Pun begitu, nyanyian Elly kedengaran bergelut dan kasar di kebanyakan nada tinggi seperti bahagian bridge “Namun ku, tahu, ku ada dirimu” yang mengurangkan sebatian vokal, penghayatan dan melodi. 

Dia sepatutnya melembutkan sebutan “Oh” di rangkap akhir nyanyian supaya dia tidak kedengaran terlalu berhati-hati atau terburuburu untuk menghasilkan pitch yang sempurna di garisan penempatannya. Adakalanya, gaya dan susunan muzik ciptaan Naim itu mudah diteka. 

Dia masih terperangkap di dalam sangkar melodinya sendiri yang dibuktikan menerusi Sumpah, Purnama, Lara, Terpisah dan Mainan. 

Sedangkan, dia bertanggungjawab memberi naskhah yang harus menepati ciri-ciri, suara dan attitude berpentas Elly. Bukannya dia berdiri sebagai jelmaan atau ‘penyadur’ kepada lagu-lagu ciptaan Naim. 

Sebenarnya, walaupun merdu didengar, suara Elly tidak menampakkan sisi kemajuan dan kematangan. Itu yang saya perhati di dalam GV3 ketika menyanyikan Berpisah Jua, Perawan atau Janda dan Jangan Menangis Sayang, malah kelemahan itu diteruskan dalam rakaman lagu-lagu komersialnya. 

Saya percaya, Elly boleh menyanyi dengan lebih baik kerana dia memiliki beberapa lagu walaupun tidak popular, tetapi ada pemberatnya seperti Inikah Balasanmu, Sekilas Pandang, Datang Dengan Janjiku dan Pendita Penipu. 

Tetapi, saya harus berlaku adil. Mungkin kerana faktor usia atau Elly kurang latihan intensif untuk menguji pita suaranya. Pun begitu, produksi muzik Elly tidak pernah mengecewakan. Dia mempunyai pasukan produksi yang mahir aspek sinematografi menghasilkan video muzik memukau seperti Sabarlah Hati, Dusta Cinta dan Sayap. 

Namun, terus terang, Sayap bukanlah satu kegagalan. Cuma, ia belum cukup kuat untuk menyaingi lagu-lagu yang beredar dalam pasaran tempatan. Format muzik Naim terus berkitar dalam pusaran sama. Andai masih ada ruang untuk Elly bermuzik, dia boleh mencuba konsep lagu lain seperti Pencuri Hati dan Temberang (Ayda Jebat) atau Syinta Gila (Sa ey Illias). 

Saya percaya, muziknya akan lebih hidup dengan dorongan ‘Kak Lina Pom Pom’. Walaupun katalog muziknya tidak sebesar Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang saya harap hanyalah konsistensi Elly bermuzik dalam industri yang penuh kompetitif.

 

  1. ALBUM studio pertama Elly Mazlein, Sutera Kasih, dikeluarkan pada 1997 dengan single Sutera Kasih dan Biar Pilu Ada Penawarnya. Namun, album ini menjadi kegagalan komersial kerana kurang promosi. 
  2. ALBUM studio kedua Elly Mazlein berjudul Satu Persatu (1999) meledak di pasaran menerusi single Usah Ditambah Barah Yang Tersimpan dan Janji Kekasih sekali gus menjadi kejayaan komersial apabila 50,000 album terjual. 
  3. ELLY (2001) merupakan album studio ketiga Elly Mazlein yang memuatkan single paling galau, Bungaku Bakawali yang merupakan antara 10 album Malaysia terlaris dengan jualan mencecah 60,000 unit. 
  4. ATAS Nama Cinta (2003) merupakan album studio keempat Elly Mazlein mempertaruh single, Pendita Penipu dan Merry Go Round.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya