KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menegaskan kenyataan dibuat berhubung isu pensijilan halal adalah maklum balas terhadap cadangan yang dibangkitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Setiausaha Publisiti DAP itu berkata, kenyataannya pada 6 September lalu hanya untuk menyuarakan pendapat untuk pihak Jakim mengkaji semula cadangan tersebut
“Kenyataan dibuat sebagai respon bagi kerajaan mengkaji semula cadangan menteri (Mohd. Na’im). Sebagai ahli parlimen, saya bertanggungjawab untuk mengutarakan masalah dan suara hati rakyat berbilang kaum.
“ Kenyataan saya tidak sama sekali bermaksud saya mempersoalkan pensijilan halal, peranan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) atau tidak menghormati agama Islam,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Mengulas lanjut, Teresa berkata, beliau tetap akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan itu namun tetap mengharapkan semua pihak bertenang.
“Saya harap isu ini akan tenang, reda kerana sudah banyak pihak sudah menyatakan pandangan masing-masing,” katanya
Terdahulu, Teresa hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berkaitan kenyataan pensijilan halal dikatakan membebankan peniaga di Malaysia.
Teresa yang memakai baju kurung berwarna putih tiba pukul 9.42 pagi ditemani peguamnya yang juga Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
Rakaman percakapan dibuat di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT),Bukit Aman.
Proses tersebut berlangsung selama satu jam setengah dan berakhir pada 11.55 pagi. – UTUSAN