JAKARTA: Pelakon, Marshanda menyifatkan watak Anna dalam drama Jangan Salahkan Aku Selingkuh sebagai antara karakter paling mencabar sepanjang kerjaya lakonannya.
Jelasnya, hal itu disebabkan dia tidak pernah merasai pengalaman dicurangi pasangan seperti yang dilalui watak berkenaan.
“Saya tidak pernah tahu apa rasanya dicurangi pasangan apatah lagi orang ketiga itu hamil,” katanya.
Pemilik nama sebenar Adriani Marshanda itu bagaimanapun menerima pujian hasil keberkesanan membawa watak itu yang merupakan seorang kaunselor rumah tangga yang berdepan pergolakan rumah tangga.
Mengulas mengenai hidup berumah tangga sebelum ini, pelakon berusia 35 tahun ini mengakui perkahwinan adalah proses mengenal pasangan yang tidak berkesudahan.
“Selama anda bersama seseorang itu, selama itu juga anda akan belajar hal yang baru.
“Hal yang anda berikan dan terima sebagai individu. Ia adalah proses belajar yang berterusan,” kongsinya.
Marshanda sebelum ini pernah berkahwin dengan Ben Kasyafani bagaimanapun perkahwinan mereka terlerai pada 2014.