Saya tidak pernah cuba jadi cantik – Erra Fazira - Utusan Malaysia

Saya tidak pernah cuba jadi cantik – Erra Fazira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU lalu, aplikasi platform media sosial X dimeriahkan dengan soalan siapakah artis Malaysia yang cantik, bijak dan berkarisma menurut warga maya. Ciapan itu mengundang perhatian dan mendapat lebih sejuta reaksi.

Mana tidaknya, waktu itu timbul sentimen mula membandingkan artis Indonesia yang turun berdemo mengawal demokrasi dengan selebriti Malaysia.

Ketika itu, beberapa warganet mula menurunkan undi siapakah selebriti yang dirasakan mempunyai ciri-ciri itu.

Nama Erra atau Fazira Wan Chek, mendapat perhatian. Bahkan ada yang menyokong mengatakan kejelitaan Erra diusia 50-an tidak boleh ditandingi mana-mana artis sebayanya.

Kaum ibu pula tidak melepaskan peluang ‘berkempen’ mengatakan sosok Erra sebagai emak juga menginspirasikan.

“Pandangan orang berbeza-beza, ada yang merasakan kita berkarisma dan cantik. Ada juga rasa kita biasa-biasa sahaja. Saya pernah jalan di suatu tempat, ada seorang makcik itu cakap ‘tak adalah cantik mana dia ini, biasa-biasa saja’.

“Jadi, saya berpendapat cantik adalah perkara yang subjektif. Jika ada 10 orang manusia, setiap daripada itu memberikan pandangan berbeza.

“Apapun yang penting, saya membawa diri seadanya. Inilah diri saya yang sebenar tanpa perlu menjadi orang lain atau cuba menjadi cantik. Kalau cantik di mata orang Alhamdulillah, itu rezeki Allah bagi agar manusia lain melihat saya cantik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas aktres filem Maria Mariana itu lagi, dia sangat berhati-hati menimbang segala pujian dan kejian. Di sebalik pujian yang diterima, dia juga sedar bahawa ada sahaja kelemahannya pernah menjadi umpatan cakap-cakap orang khususnya membabitkan rumah tangga sebelum ini.

“Saya tidaklah suka kongsi benda peribadi. Tapi kalau ia bagus dan memberi inspirasi kepada orang lain, mengapa tidak.

“Dalam kerjaya saya ini, ramai sahaja orang memuji dan mengeji, tapi kita kena lalui. Banyak sahaja yang menjadi sorotan terutama ketika pergolakan rumah tangga atau kisah putus cinta. Itu-itu sahajalah. Ada yang berpendapat baik, tapi ada juga yang mengatakan sayalah punca.

“Mungkin itu bahagian saya, saya alami dan lalui untuk dikongsikan kepada semua. Kadang manusia jika mahu belajar daripada sesuatu, tidak perlu ‘terkena’ dahulu. Kita boleh belajar daripada pengalaman orang lain,” jelasnya.

Jangan stres
Tambahnya, selama ini, dia tidak mengamalkan petua khusus untuk tampil menawan sebaliknya mengamalkan gaya hidup bebas tekanan dalam kehidupan harian.

“Saya tiada rahsia kecantikan apapun, cuma jangan stres sangat. Tekanan adalah kunci kepada segala penyakit. Doktor pun cakap perkara serupa.

“Macam mana nak elak stres, saya selalu ingatkan diri bahawa kita adalah hamba Allah sahaja, kalau Allah bagi maksudnya kita mampu harungi. Derita dan sakit yang kita rasa semuanya sementara. Bila kita mengadu kepada Allah, sakit itu akan kurang sikit,” katanya.

Kembali menduduki kerusi juri untuk program nyanyian Kilauan Emas bermula 14 September nanti, Erra turut memberikan nasihat serupa kepada semua peserta yang bertanding.

“Kita mencari bintang untuk generasi 40 tahun ke atas seperti kejayaan yang dicipta Wak Mustar.

“Namun keadaan semasa pertandingan berbeza. Apabila pertandingan bermula, kita ada jadual, latihan dan duduk di suatu tempat. Peserta ini memang akan alami tekanan.

“Kita takut juga dalam usia peserta 45 tahun ke atas, akan beri kesan kepada keadaan peserta jika terlalu tertekan. Jadi saya pesan agar mereka tidak stres dan berseronok sahaja. Kita cuma nak cari satu pemenang sahaja,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya