Saya tiada kepentingan dalam kes Guan Eng - Zarul Ahmad

Saya tiada kepentingan dalam kes Guan Eng – Zarul Ahmad

LIM Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau tiada kepentingan terhadap pendakwaan yang dikenakan ke atas Lim Guan Eng berhubung tuduhan rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli berkata, beliau hanya menyerahkan kepada mahkamah dan tiada kepentingan langsung terhadap apa-apa yang berlaku pada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi utama pendakwaan itu berkata, beliau tidak berdendam kepada Pengerusi DAP itu, malah sangat terhutang budi kepadanya.

“Saya terhutang budi pada Guan Eng dan sentiasa berdoa untuknya,” ujar saksi berkenaan pada prosiding mencabar kredibiliti beliau ekoran dua kenyataan berbeza diberikanyan melibatkan siasatan kes terowong dasar laut Pulau Pinang.

Menurut Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. itu, beliau bagaimanapun disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan peranan Guan Eng dalam pelaksanaan projek tersebut.

Zarul Ahmad berkata, ketika tempoh siasatan selama 11 hari itu, beliau menjelaskan Guan Eng berperanan membantunya mendapatkan projek berkenaan dan juga perjanjian 10 peratus diberikan kepada bekas Ketua Menteri itu.

Wan Shaharuddin: Sepanjang perbicaraan, Datuk dipanggil penipu. Adakah Datuk menipu di mahkamah?
Zarul Ahmad: Tidak

Wan Shaharuddin: Pada perbicaraan ini, Datuk dituduh beri keterangan untuk mengenakan Guan Eng.
Zarul Ahmad: Saya dituduh menipu tanpa memberikan alasan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Kredibiliti Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. yang juga saksi utama pendakwaan, dicabar selepas kenyataan yang diberikannya ketika siasatan kes ahli perniagaan G. Gnanaraja, berbeza dengan kenyataannya dalam kes Guan Eng walhal kedua-dua kes melibatkan siasatan terowong dasar laut Pulau Pinang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN