BUKIT JALIL : Anggota kumpulan Dolla, Sabronzo menganggap tuduhan mengenai dia mempunyai hubungan sulit dengan seorang ahli politik merupakan satu fitnah yang tidak berasas.
Menurut Sabronzo, dakwaan dia merupakan individu yang memasuki sebuah banggunan dengan seorang lelaki berstatus VIP adalah tidak benar sementelah dia juga tidak mengenali siapa individu terbabit.
“Maaf saya tak kenal siapa individu dimaksudkan. Saya pun tak tengok video tersebut.
“Itu bukan saya dan saya tidak ada hubungan dengan mana-mana ahli politik Malaysia, 100 peratus itu bukan saya,” katanya.
Sabronzo menjelaskan perkara itu ketika ditemui selepas menjayakan konsert Jiwa Malaysia yang diadakan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Menurut Sabronzo lagi, dia tidak menolak kemungkinan wanita di dalam video tersebut mirip atau iras dengannya namun bukan dirinya.
“Saya tidak tahu nak respons apa. Mungkin orang kaitkan sebab perempuan dalam video itu seperti saya, sama gaya.
“Tapi memang bukan saya. Lagipun internet sekarang kreatif,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sabronzo memberitahu dia kini ‘bercinta’ dengan kariernya dan tidak mempunyai masa memikirkan soal peribadi.
Bagaimanapun, ujarnya, dia akan memaklumkan kepada peminat sekiranya dia mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki pada masa hadapan.
“Ketika ini saya hanya buat kerja saya. Fokus kepada kerjaya seni dan tiada masa untuk perkara lain.
“Kalau nanti saya ada kekasih, saya tidak akan sorok tapi buat masa sekarang masih belum ada,” katanya.
Sebelum ini tular sebuah video memperlihatkan seorang wanita mirip Sabronzo memasuki sebuah bangunan sejurus selepas seorang ahli politik tiba di lokasi sama.
Ahli politik berkenaan juga dikatakan pernah mengikat tali pertunangan dengan seorang penyanyi popular namun ikatan itu berakhir dengan perpisahan. -UTUSAN