KUALA LUMPUR: Pelakon, Lana Nodin, menolak tanggapan yang kononnya dia seorang isteri yang bersikap Queen Control.
Kata Lana, telahan itu tidak benar kerana dia dan suami tidak pernah mengongkong antara satu sama lain.
“Saya bukan isteri yang kongkong suami. Malah saya dan David bersikap terbuka, tidak pernah ganggu satu sama lain kalau kami ada urusan masing-masing, sekadar bertanya keadaan.
“Alhamdulillah, sejak mula berkahwin sampailah sekarang, kami tak pernah meragui satu sama lain. Saya balik lewat pun dia tak pernah sibuk nak tahu saya di mana. Begitulah juga sikap saya terhadapnya.
“Bukan mahu meninggi diri, tapi saya bersyukur punya suami yang jujur dan tak berahsia. Dia ini lain sikit, seorang yang bersikap family man.
“Mungkin ini kurniaan Allah selepas beberapa kali saya kecundang dalam perhubungan sebelum ini. Akhirnya saya dijodohkan dengan lelaki yang baik,” katanya.
Lana berkahwin dengan atlet bola tampar kelahiran Amerika Syarikat, David McKienzie pada tahun 2015.
Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata, William Daud McKienzie dan Gia Quinn McKienzie.
Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hassan Nodin dalam pada itu memaklumkan memilih untuk tidak terlalu menunjuk-nunjuk kebahagiaannya di media sosial.
Katanya, selain mahu mengelak penyakit ain, dia juga tidak mahu dianggap riak.
“Saya tak mahu war-warkan kebahagiaan kami. Itu sebabnya saya jarang berkongsi aktiviti keluarga dalam media sosial.
“Biarlah kebahagiaan itu saya, suami dan anak-anak sahaja yang tahu,” kongsinya .