Saya tak beri arahan, Nik Faisal mainkan semua orang - Najib

Saya tak beri arahan, Nik Faisal mainkan semua orang – Najib

NAJIB Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berhubung perbicaraan kes saman SRC, semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyangkal dakwaan bahawa bekas Ketua Pegawai Esksekutif SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil adalah perantara antara beliau dan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Selain itu, bekas Presiden UMNO itu juga beranggapan bahawa Nik Faisal telah mempermainkan semua pihak namun beliau menjadi hairan apabila memikirkan tiada sesiapa daripada Lembaga Pengarah yang berjumpa dengannya bagi mendapatkan pengesahan.

“Nampaknya, Nik Faisal mungkin mempermainkan kedua-dua belah pihak. Kepada saya, dia menyatakan ia diputuskan Lembaga Pengarah dan kepada Lembaga Pengarah dia menyatakan saya memberi arahan.

“Apa yang membingungkan saya ialah mengapa pengarah SRC yang lain termasuk Tan Sri Ismee tidak peduli untuk mengesahkan perkara itu dengan saya secara langsung, sebaliknya hanya menerima kata-kata Nik Faisal. Ini terutamanya berkaitan dengan dana syarikat,” katanya.

Tambahnya, Ismee merupakan seorang ahli korporat yang berpengalaman dengan pengalaman yang luar biasa dalam mengendalikan syarikat berkaitan kerajaaan (GLC) dan turut mempunyai nombor telefon peribadinya.

Namun, ujar Najib, Ismee tidak pernah bertanya apa-apa kepadanya mengenai perkara yang disampaikan oleh Nik Faisal walaupun pernah berjumpa dengannya beberapa kali.

Najib berkata demikian ketika membaca penyataan saksinya dalam kes saman yang difailkan SRC International pada 7 Mei 2021 terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu dan Nik Faisal bagi menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

Selain itu, Najib menafikan beliau pernah memberikan sebarang arahan kepada Lembaga Pengarah bagi apa jua perkara sekalipun dan tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk menguruskan mana-mana syarikat MKD, termasuk SRC secara mikro.

“Tambahan pula, SRC International hanyalah satu daripada banyak syarikat MKD yang terbabit dalam projek berkaitan kepentingan negara pada masa itu. Tiada sebab untuk saya mengarah Lembaga Pengarah SRC melalui Nik Faisal.

Najib turut menyatakan, Nik Faisal memberitahunya, Lembaga Pengarah sudah membuat keputusan berhubung pelaburan SRC International selepas mengadakan perbincangan yang perlu dan melaksanakan usaha wajar melalui perunding dan penasihat luar.

Katanya, beliau pastinya tidak mengarahkan Lembaga Pengarah dalam apa cara sekalipun berhubung perkara terbabit dan tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk menguruskan mana-mana syarikat MKD, termasuk SRC secara mikro.

Dalam tindakan saman itu, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib dan Nik Faisal sebagai defendan.

Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi,  Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC International yang juga anak syarikat 1MDB selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN