PUTRAJAYA: Pelakon dan pelawak, Saiful Apek, mengakui tidak pernah berkongsi mengenai anak dan isteri demi memelihara privasi mereka.
Apek atau Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff, 55, tidak mahu anaknya Riyadh Aslam dan Radzin Aiman terkena tempias menjadi bahan ejekan apalagi dia pernah melakonkan karakter seorang perempuan.
“Memang saya jarang tunjuk gambar keluarga waktu dulu kerana ia adalah permintaan isteri. Saya juga bersetuju kerana tidak adil untuk anak-anak. Biarlah mereka hidup dan membesar seperti kanak-kanak biasa.
“Saya boleh bayangkan apa yang anak saya akan alami sekiranya kawan-kawan mereka tahu siapa bapa mereka. Tambahan pula saya pernah berlakon jadi perempuan, nanti mereka ejek dan sebagainya.
“Alhamdulillah, lepas anak-anak habis sekolah baru kawan-kawan mereka tahu sayalah bapa. Syukurlah anak-anak saya boleh melalui proses membesar seperti orang biasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Tambah pemenang Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular 2003 ini lagi, dia tidak menggalakkan kedua-dua anaknya untuk menceburi bidang hiburan yang penuh ujian.
“Walaupun mereka berminat dalam bidang seni, saya tidak pernah galakkan. Untuk bertahan dalam industri ini bukan hanya memerlukan bakat semata-mata, tapi ketahanan.
“Hari-hari mereka kena harung bermacam kecaman, kena kalis ‘koyak’. Dahulu saya pernah terima gelombang kecaman yang teruk semasa zaman awal-awal memasuki Senario.
“Bayangkan saya terima surat dua guni besar semuanya berisi kutukan. Menitik air mata saya baca satu persatu.
“Peminat Senario kata saya tidak lawak, suruh saya balik jadi pengacara sahaja dan bermacam-macam lagi,” jelasnya.
Terdahulu, Apek pernah berkahwin dengan seorang wanita, Roslina Abu Hassan pada 11 Jun 1994.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohd Riyadh Aslam dan Mohd Radzin Aiman.
Bagaimanapun, anak sulungnya, Riyadh Aslam sudah pun mendirikan rumah tangga tahun lalu pada usia 27 tahun. -UTUSAN