Saya nak habiskan masa sebaik mungkin bersama suami dan anak selagi boleh - Hana Ismail - Utusan Malaysia

Saya nak habiskan masa sebaik mungkin bersama suami dan anak selagi boleh – Hana Ismail

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Personaliti televisyen, Hana Ismail meluahkan rasa syukur diberi kesempatan untuk meluangkan masa bersama suaminya, Da’i Syed yang dilepaskan sementara dengan jaminan selepas 21 hari menjalani hukuman atas pertuduhan merogol.

Menurut Hana, dia mahu meluangkan masa sebanyak mungkin bersama pendakwah itu dan anak mereka, Sharifah Fatma Nour Jamalullail selagi mempunyai waktu.

“Alhamdulillah syukur, sebenarnya manusia ini diberi pinjaman masa jadi saya nak habiskan masa sebaik mungkin bersama suami dan anak selagi boleh. Saya lega,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hana turut meluahkan rasa syukur apabila menerima lebih banyak sokongan moral berbanding kecaman daripada warganet sepanjang suaminya menjalani tempoh hukuman dipenjara.

“Alhamdulillah Allah maha baik, sebenarnya tak semua orang begitu (mengecam). Ramai juga orang di luar sana yang baik-baik dan prihatin dengan kami.

“Mungkin pada mereka kami tidak layak. Tetapi sebab ihsan kami tinggi dan berkelakuan baik dapat juga (sokongan),” ujarnya.

Hana berkongsi perkara itu ketika ditemui di sesi sebutan semula tarikh pengurusan kes Da’i Syed atas dakwaan merogol seorang wanita lima tahun lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pagi tadi.

Pada hari ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan semula tarikh pengurusan kes pada 5 November depan atas dakwaan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, pada tahun 2020.

Pada 20 September lalu, Da’i Syed dilepaskan sementara dengan jaminan sebanyak RM35,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas 21 hari berada menjalani hukuman di penjara.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da’i Syed selaku pemohon untuk menggantung pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya di didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Pada 30 Ogos lalu, Da’i Syed telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Pendakwah selebriti itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN