KUALA LUMPUR: Pelakon, Zarina Anjoulie enggan melayan netizen yang mengecam pembedahan hidung yang dilakukannya, baru-baru ini.
Jelas pelakon berusia 37 tahun itu, masyarakat bebas memberi pandangan dan dia berlapang dada menerima kritikan atas tindakannya itu.
“Kepada yang tuduh saya ajak orang buat dosa, saya minta maaf kalau mereka tak suka.
Ini kerja saya dan saya dibayar untuk berkongsi pengalaman melakukan pembedahan hidung di klinik tersebut. Kalau hasilnya tak bagus, saya tak akan review.
“Selain itu, berapa ramai orang yang menanggung bahana kerana ditipu selepas melakukan pembedahan kosmetik di tempat yang salah sampai ada yang terpaksa buang payu dara dan sebagainya.
“Dan ramai juga yang tertipu, konon dijanjikan suntikan filler, namun sebenarnya minyak aloe vera yang doktor berikan.
“Jadi saya buat pembedahan hidung ini dan kongsikan kepada masyarakat supaya mereka juga buat pembedahan di klinik yang betul. Terlalu ramai penipu sekarang ini yang mengenakan caj perkhidmatan yang murah namun membahayakan pelanggan,” katanya.
Zarina berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran rangkaian produk rambut termasuk pencuci anti gugur dan mask rambut Noir x RidzOkumura, semalam.
Turut hadir adalah pengasas produk kecantikan Noir, Eriyca Baiduri dan pengasas pusat kecantikan rambut RidzOkumura, Abd Ridzuan Abdul Mutalib.
Zarina sebelum ini mendedahkan telah melakukan pembedahan hidung di sebuah klinik di luar negara.
Pendedahan Zarina yang mesra disapa Anju itu menuai kritikan netizen dengan ada yang berpandangan pelakon itu memiliki hidung yang semula jadi cantik dan tidak perlu pembedahan kosmetik.
“Saya mengaku saya buat pembedahan hidung, tak ada sebab untuk saya sembunyikan perkara ini.
“Sebelum ini ramai yang bercakap mengenai hidung saya. Ada yang kata bentuknya bulat di hadapan dan bermacam lagi pandangan saya terima.
“Tetapi selepas melakukan pembedahan, tak ada lagi yang memberikan komen mengenai hidung saya.
“Saya bersikap telus. Buat pembedahan atau tidak, orang tetap akan kecam. Sekurang-kurangnya saya kongsi di media sosial untuk beri kesedaran dan informasi tentangnya,” kongsinya.