PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Dafi nafi membuat pembedahan bariatrik atau potong usus susulan penampilan terkininya yang semakin kurus.
Menurut Dafi atau nama penuhnya, Gadaffi Ismail Sabri, 36, dia hanya mengawal pemakanannya secara konsisten sejak terlibat dalam penggambaran filem Malbatt: Misi Baskara dua tahun lalu.
“Saya nampak terlalu kurus sekarang ini sebab diet dan jaga makan saja. Saya tak buat pun pembedahan bariatrik dan ini kurus semula jadi,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Bila Terasa Rindu itu turut mengakui dia fobia untuk mengambil tahu mengenai berat terkininya kerana pernah berbadan besar suatu ketika dahulu.
“Saya juga tak tahu berapa kilogram (kg) berat badan saya sekarang sebab saya dulu pernah berbadan besar sewaktu zaman sekolah. Jadi, sampai sekarang saya ada masalah fobia nak timbang (berat badan). Saya ada rasa takut sangat nak timbang,” jelasnya.
Tambah Dafi, dia hanya dapat menjangka tubuh badannya mula susut berpandukan saiz seluar yang dipakai.
Dalam perkembangan lain, anak kepada bekas Perdana Menteri itu juga sedang giat menjalankan promosi lagu terbaharunya yang dicipta oleh Shazee Ishak dan Altimet.
Dafi bagaimanapun meluahkan rasa teruja dapat kembali menghiburkan peminat menerusi lagu terbaharunya selepas 10 tahun tidak aktif dalam bidang nyanyian.
“Selepas 10 tahun tidak muncul dengan lagu baharu, saya gembira kini dapat mempertaruhkan lagu Hellooo! kepada peminat yang secara tidak langsung memberitahu mereka (peminat), saya masih minat menyanyi lagi.
“Selain itu, saya juga menyiapkan rakaman studio lagu Hellooo! sudah lama dan sepatutnya ia dilancarkan pada 2020 lalu, tetapi terpaksa disimpan ketika itu kerana penularan Covid-19,” katanya.-UTUSAN