PETALING JAYA: Menerima kecaman bertubi-tubi dek dikatakan tidak sensitif memuat naik gambar bersama Fattah Amin, pelakon, Wanna Ali menjelaskan hantaran tersebut sudah dijadualkan lebih awal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wanna berkata, dia hanya melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon untuk mempromosikan drama Lelaki Melayu Terakhir yang berbaki lagi dua episod.
“Saya memang tiada niat apa-apa. Hantaran itu sudah dijadualkan malam tadi sebagai pelan promosi untuk episode akan datang. Saya sendiri tidak tahu apa-apa yang berlaku.
“Bila kecaman menderu masuk di ruangan komen, barulah saya tahu oh ada isu sensasi sedang berlaku antara Fattah dan Fazura. Tetapi memang saya tidak tahu apa-apa pun.
“Drama itu berbaki dua episod lagi dan malam tadi, kebetulan babak kahwin. Jadi saya muat naik untuk promosi sahaja. Itu kerja saya kan,” ujarnya.
Wanna menerima kecaman lantaran dikatakan tidak sensitif dan ‘menumpang’ kehangatan isu sensasi melibatkan Fattah.
Terdahulu, Fazura dikhabarkan memfailkan perceraian terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.
Dalam pada itu, ketika ditanya bagaimana keadaan Fattah ketika penggambaran drama tersebut, Wanna sekali lagi menjelaskan penggambaran drama itu berlangsung pada Januari sehingga April.
“Saya pernah berlakon dengan Fattah dan juga Fazura. Malah perbualan saya dan Fattah mesti berkisarkan Fazura. Lagipun saya dan Fattah tidak bercakap sangat. Kami hanya berlakon sama.
“Hal peribadi memang saya tak masuk campur pun,” katanya.-UTUSAN